KUALA LUMPUR, 23 MEI – Lima pemain bola sepak terbaik Malaysia terpilih menyertai skuad ASEAN All-Stars berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris Manchester United pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
ShekhinahPR, agensi perhubungan awam rasmi bagi perlawanan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan lima pemain itu ialah Muhammad Azam Azmi Murad, Muhammad Adib Abdul Ra’op, Muhammad Haziq Nadzli, Declan Lambert dan Sergio Aguero.
Pemain pertahanan kanan Terengganu FC, Muhammad Azam yang dikenali dengan larian pantas dan menyerang berkata dia berasa bangga diberi peluang untuk mewakili negara pada perlawanan berprestij itu.
“Memakai jersi kebangsaan dalam skuad ASEAN All-Stars ini adalah satu detik membanggakan. Saya berazam untuk memberikan yang terbaik dan menunjukkan kemampuan sebenar bola sepak Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
Pemain sayap Penang FC, Muhammad Adib pula meluahkan keterujaan apabila berpeluang menentang pasukan bertaraf dunia.
“Ini lebih daripada sekadar satu perlawanan, ia adalah peluang untuk kami mempamerkan kemahiran dan semangat di pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Perak FC, Muhammad Haziq berkata dia bersedia untuk menyahut cabaran menentang barisan penyerang bertaraf dunia. – Bernama
