Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima pendaki Jerman maut tertimbus runtuhan salji

    ROM, 2 NOV – Lima pendaki warga Jerman, termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, maut akibat ditimbus runtuhan salji di Pergunungan Dolomite, Itali pada petang kelmarin, menurut perkhidmatan penyelamat gunung.

    Dua kumpulan pendaki terperangkap dalam runtuhan salji yang meluncur deras dari lereng gunung berhampiran sempadan Switzerland, di wilayah Timur Laut Tyrol Selatan.

    “Kumpulan pertama yang terdiri daripada tiga orang telah ditimbus sepenuhnya di bawah salji,” menurut kenyataan perkhidmatan penyelamat alpine Itali hari ini. Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia.

    Sementara itu, dua pendaki daripada kumpulan kedua yang terdiri daripada empat orang terselamat selepas berjaya berlindung. Mayat dua lagi pendaki iaitu seorang bapa dan anak perempuannya berusia 17 tahun ditemui pada pagi tadi.

    Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan sebelum ini susulan cuaca buruk yang menyukarkan usaha pasukan penyelamat.

    Kedua-dua pendaki tersebut dipercayai telah ‘terseret ke bahagian bawah laluan runtuhan salji’, menurut pengesahan pihak penyelamat. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda