BANGKOK, 28 JULAI – Seorang lelaki bersenjata membunuh lima pengawal keselamatan dan mencederakan seorang lagi dalam kejadian tembakan di pasar makanan segar popular di ibu negara Thailand hari ini, kata polis.
Suspek melepaskan tembakan dengan menggunakan pistol di Pasar Or Tor Kor di daerah Bang Sue di Bangkok pada 12:31 tengah hari, kata Polis Diraja Thai, sebelum membunuh dirinya sendiri.
“Polis sedang menyiasat motif kes tersebut. Setakat ini ia adalah tembakan besar-besaran,” kata Timbalan Ketua Polis, Bang Sue Worapat Sukthai, kepada AFP.
Beliau berkata polis berusaha mengenal pasti pelaku yang terkorban, serta menyiasat sebarang kaitan dengan pertempuran sempadan semasa antara Thailand dan Kemboja.
Ketua polis negara, Kitrat Phanphet berkata siasatan telah dijalankan, dengan pegawai memeriksa rakaman CCTV berkaitan serangan itu.
Pasar Or Tor Kor terletak tidak jauh dari pasar Chatuchak yang merupakan destinasi pelancongan utama di Bangkok dan mempunyai ramai pengunjung setiap hujung minggu.
Kejadian tembakan beramai-ramai sering berlaku di Thailand, di mana senjata api boleh diperoleh dengan agak mudah disebabkan penguatkuasaan kawalan senjata yang kurang ketat. – AFP
