Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima perkara yang harus dilakukan oleh pemilik kereta

    Memiliki kereta sememangnya bakal memudahkan pergerakan awda ke mana sahaja.

    Namun, ia juga turut menambah tanggungjawab awda selepas itu. Selain perlu membayar ansuran bulanan, penting juga untuk awda sebagai pemilik kereta memikirkan mengenai beberapa perkara lain bagi memastikan kenderaan awda kekal berfungsi dengan baik dan sah digunakan di atas jalan raya.

    Untuk penulisan kali ini, BJAK akan mengongsikan kepada awda mengenai lima perkara penting yang perlu awda lakukan sebagai seorang pemilik kereta.

    SERVIS KERETA PADA TEMPOH YANG DITETAPKAN

    Sebagai pemilik kereta, awda pasti tahu bahawa perkara utama yang perlu dititiberatkan adalah penyelenggaraan atau servis kereta mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

    Penyelenggaraan kereta adalah penting bagi memastikan prestasi dan komponen kereta awda kekal berada dalam keadaan yang terbaik dan selamat.

    Awda ada pilihan sama ada dengan mencuci kereta awda sendiri di laman rumah, ataupun menghantarnya ke pusat cuci kereta berdekatan rumah awda. – Agensi
    Gambar Freepik
    Jangan hanya beli kereta tetapi malas untuk menjaganya. – Agensi
    Periksa tekanan tayar dari semasa ke semasa. – Agensi

    Untuk pengetahuan, kereta awda perlulah diservis setiap 5,000 km atau setiap tiga bulan, bergantung pada keadaan semasa kereta dan kekerapan awda memandunya.

    Ketika menghantar kereta untuk diservis, pastikan beberapa perkara asas ini diperiksa: (i) paras minyak enjin dan minyak gear; (ii) penapis udara; (iii) keadaan tayar; (iv) gantikan minyak hitam dan penapis minyak; (v) periksa tekanan tayar; (vi) periksa lampu depan, signal dan lampu brek; (vii) menukar penapis kabin.

    Selain itu, kereta awda juga perlu dilakukan major service bagi memastikan komponen-komponen penting ditukar dan mengekalkan kereta pada keadaan terbaik.

    Selain pemeriksaan untuk perkara-perkara asas di atas, antara perkara utama yang perlu dipertimbangkan ketika melakukan major service adalah: (i) mengganti spark plug; (ii) menukar cecair penyejuk atau coolant; (iii) menukar minyak gearbox setiap 20,000km; (iv) menukar pad brek; (v) menukar timing belt setiap 60,000km (bergantung pada jenama kereta); (vi) menukar aircond belt atau altenator belt.

    Untuk kereta baharu terutamanya yang masih memiliki waranti, awda sangat digalakkan untuk menghantar kereta awda ke pusat servis jenama kereta awda bagi mendapatkan khidmat penyelenggaraan yang lebih baik dan lengkap.

    CUCI KERETA AWDA

    Jangan hanya beli kereta tapi malas untuk menjaganya. Untuk memastikan kereta awda kekal bersih dan cantik, sila pastikan kereta dicuci setidak-tidaknya seminggu sekali.

    Bahkan tahukah awda sebenarnya, cuci kereta tidak hanya bertujuan untuk memastikan ia bersih sahaja, malah ia turut penting bagi: (i) mengekalkan cat kereta daripada pudar dan kusam; (ii) mengelak daripada menjadi sarang serangga kecil seperti lipas, semut dan sebagainya; (iii) pemanduan yang lebih selesa; (iv) keselesaan penumpang kereta awda.

    Tidak susah pun untuk mencuci. Awda ada pilihan sama ada dengan melakukannya sendiri di laman rumah, mahupun menghantarnya ke pusat cuci kereta berdekatan rumah awda.

    Harganya juga tidaklah mahal, sekadar $10 hingga $20 sahaja bergantung pada jenis kenderaan.

    Selain mencuci bahagian badan dan dalaman kereta awda, apa kata sekali sekala awda polish, wax dan nano coating kereta awda untuk mengekalkan kereta awda pada keadaan terbaik dan cantik.

    PERIKSA TEKANAN TAYAR

    Sebilangan pemilik kereta jarang mempertimbangkan untuk memeriksa tekanan tayar selagi ia tidak kelihatan kempis atau pancit.

    Namun tahukah awda, walaupun awda mempunyai tayar baharu dan berkualiti tinggi, udara akan keluar dari semasa ke semasa melalui sentuhan dengan curb atau disebabkan perubahan suhu secara tiba-tiba.

    Ingat, tayar kereta yang berada dalam keadaan baik mampu mengurangkan risiko kemalangan serta menjamin keselamatan awda sepanjang perjalanan, terutamanya perjalanan panjang.

    Jika tekanan tayar kereta awda berada di bawah tekanan yang disarankan, ia akan berubah bentuk dan boleh menjadi terlalu panas.

    Bagaimanapun ketika cuaca panas, tekanan tayar baik untuk diturunkan sedikit kerana udara mengembang ketika dipanaskan.

    TABUNG KECEMASAN UNTUK PEMBAIKAN TIDAK DIJANGKA

    Kereta awda boleh berlaku kerosakan pada bila-bila masa seperti tayar pecah, bateri habis, terlibat dalam kemalangan jalan raya dan sebagainya.

    Justeru sebagai pemilik kereta, awda sangat digalakkan untuk me-nyediakan tabung kecemasan bagi membayar kos pembaikan kereta awda sekiranya keadaan mendesak kelak.

    Sebaiknya, simpan sekurang-kurangnya 5 peratus daripada gaji awda untuk tabung kecemasan khusus bagi pembaikan kereta.

    Dengan berbuat demikian, awda tidak akan begitu terkesan dengan beban kewangan sekiranya kereta perlu dibaiki secara tiba-tiba suatu hari nanti.

    PERBAHARUI CUKAI JALAN DAN INSURANS AWDA

    Sebagai pemilik kereta, antara perkara paling utama dan wajib untuk awda lakukan adalah memperbaharui cukai jalan dan insurans awda setiap tahun selagi awda adalah pemiliknya.

    Ingat, awda perlu memperbaharui insurans kereta terlebih dahulu sebelum dapat menghidupkan semula cukai jalan awda.

    Sebaiknya, perbaharuilah insurans awda beberapa minggu sebelum ia tamat tempoh dan segera perbaharui cukai jalan awda selepas berjaya memperoleh insurans kereta awda.

    Untuk menghidupkan cukai jalan dan insurans tak susah pun. Kini pelbagai platform dalam talian disediakan kepada awda supaya awda boleh menghidupkan insurans dan cukai jalan awda dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

    Sebagai kesimpulan, berikanlah penjagaan rapi untuk kereta awda. Ingat, awda membayar sehingga puluhan atau ratusan ribu untuk hanya sebuah kereta.

    Justeru, pastikan awda memberikan penjagaan yang terbaik supaya kereta awda kekal cantik dan selamat untuk digunakan bagi mengelakkan kerugian pada diri awda kelak. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda