Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima rumah bantuan bakal dibina

    Oleh Sim Y. H. –

    TEMBURONG, 13 DIS – Impian memiliki rumah bagi salah seorang penerima rumah bantuan, Rokiah Anak Pagan menjadi kenyataan apabila Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Majlis Memulakan Tiang Rumah-rumah Bantuan bagi projek pembinaan lima buah rumah bantuan baharu di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong di bawah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Tahun 2024, hari ini.

    Majlis memulakan tiang rumah telah bermula di tapak pembinaan bagi Rokiah di 1076C, Kampung Amo B, Jalan Batang Duri, Daerah Temburong.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan; ahli-ahli Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan; serta pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan Yayasan.

    Sebanyak lima buah rumah bantuan akan dibina di bawah projek berkenaan iaitu tiga buah rumah di Daerah Temburong yang dikontrakkan kepada Syarikat The Rumah Power Co serta sebuah rumah masing-masing di Daerah Belait dan Daerah Brunei Muara yang dikontrakkan kepada Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa hadir di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyempurnakan Majlis Memulakan Tiang Rumah-rumah Bantuan di 1076C, Kampung Amo B, Jalan Batang Duri, Daerah Temburong. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham diberikan penerangan mengenai projek yang dilaksanakan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025 dan merangkumi dua jenis banglo iaitu sebuah banglo dengan dua bilik tidur dan sebuah banglo dengan tiga bilik tidur.

    Reka bentuk rumah bantuan Yayasan adalah lebih moden dan mengikut teknologi semasa, setara dengan keperluan rumah kos rendah. Pembinaan itu juga dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat, memastikan penerima dapat mendiami rumah mereka dengan selesa sebelum menjelangnya Hari Raya.

    Antara tujuan utama penubuhan Yayasan adalah untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat termasuk memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi seperti tempat tinggal yang sempurna kepada golongan yang memerlukan.

    Projek pembinaan rumah bantuan itu merupakan salah satu inisiatif Yayasan dalam mencapai matlamat berkenaan.

    Rumah-rumah bantuan itu dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan terutamanya mereka yang tinggal di kediaman yang daif dan tidak selamat untuk didiami.

    Ia bertujuan untuk memberikan peluang kepada penerima dan keluarga mereka untuk memperbaiki taraf hidup daripada segi sosial, ekonomi dan kesejahteraan keseluruhan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda