Lima sekeluarga lafaz Dua Kalimah Syahadah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Sebuah keluarga berbangsa Iban telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup yang baharu setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di sebuah rumah di RPN Kampung Pandan 6 ‘B’, Kuala Belait, baru-baru ini

Dengan majlis pengislaman itu, Martin Anak Belang, 44, selaku ketua keluarga telah memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Mateen bin Abdullah Belang dan isterinya, Roseta binti Santan, 49, memilih nama Islamnya sebagai Roseta binti Abdullah Santan.

Manakala itu, anak-anak mereka pula, Anneesa Wench Anak Martin, 18, kini dikenali sebagai Nur Anneesa Mahdia binti Muhammad Mateen, Vanneessa Mas Anak Martin, 17, kini dikenali sebagai Nur Hadia Wafaa binti Muhammad Mateen dan Felisha Natasha Anak Martin, 14, kini dikenali sebagai Nur Natasha Affifah binti Muhammad Mateen.

Hadir menyaksikan majlis penuh keberkatan itu selaku tetamu kehormat ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz ikrar pengislaman oleh saudara-saudara baharu yang diraikan di hadapan pegawai dan kakitangan Unit Pengislaman, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait.

Acara diteruskan dengan penyampaian cenderahati bagi saudara-saudara baharu ber-kenaan yang disempurnakan oleh Awang Mohamad Aliyani.

Awang Mohamad Aliyani bergambar ramai bersama saudara-saudara baharu yang diraikan.