Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima sekeluarga puak Dusun peluk Islam

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 15 SEPT – Sebuah keluarga puak Dusun melafazkan Dua Kalimah Syahadah di majlis pengislaman yang diadakan di Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Bukit Dawat, Daerah Belait, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.

    Turut hadir ialah Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya lafaz ikrar pengislaman oleh Subli bin Bungah, 75 tahun, yang memilih nama Islamnya sebagai Subli bin Abdullah Bungah. Diikuti oleh isteri beliau, Dusun binti Beniah, 64 tahun, yang memilih nama Islam beliau sebagai Nur Darayani binti Muhd Baktiar.

    Acara diteruskan oleh anak-anak pasangan tersebut, Safereman bin Subli, 42 tahun, memilih nama Islamnya sebagai Muhamad Aiman bin Subli. Manakala Syimirikhwan bin Subli, 28 tahun yang kini dikenali dengan nama Islamnya, Muhammad Amir Ikhwan bin Subli. Disusuli oleh Firdaus Ashura bin Subli, 21 tahun, yang memilih nama Islamnya sebagai Firdaus Ashura bin Subli.

    Majlis pengislaman disempurnakan oleh Pegawai Pengislaman dari pejabat Unit Dakwah, Daerah Belait.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan Dikir Marhaban dan penyampaian cenderahati disampaikan oleh tetamu kehormat majlis. Diakhiri dengan Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Unit Dakwah, Daerah Belait, Awang Abdul Khaliq bin Kamree.

    Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh PDI, dari bulan Januari hingga 9 September 2024, PDI mencatatkan seramai 220 orang yang telah memeluk agama Islam di negara ini.

    Daripada jumlah tersebut 53 orang adalah puak Dusun.

    Tetamu kehormat majlis menyampaikan cenderahati kepada saudara-saudara baharu yang diraikan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Yang Berhormat Awang Mohammad merenjis bunga rampai kepada salah seorang saudara baharu pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Nur Darayani semasa melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda