GARDEZ, AFGHANISTAN, 8 SEPT – Lima sekolah menengah kerajaan untuk perempuan telah disambung semula di timur Afghanistan selepas ratusan pelajar menuntutnya untuk dibuka semula, kata seorang pegawai wilayah hari ini.
Secara rasmi Taliban telah mengharamkan pendidikan sekolah menengah perempuan, namun perintah itu telah diabaikan di beberapa bahagian Afghanistan jauh dari pangkalan kuasa pusat Kabul dan Kandahar.
Mohammad Wali Ahmadi, pengetua Sekolah Tinggi Shashgar di Gardez, memberitahu AFP, kira-kira 300 kanak-kanak perempuan telah kembali ke sekolah sejak minggu lalu walaupun tiada perubahan dalam polisi rasmi.
Sekumpulan gadis bertudung dan berhijab dilihat menuju ke sekolah pada pagi ini. “Sejak gadis-gadis itu datang sendiri, kami tidak menolak mereka,” kata Ahmadi.
Tetapi, jika kementerian pendidikan mengarahkan sekolah itu ditutup, beliau akan ‘segera’ berbuat demikian, tambahnya. – AFP