Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima sekolah terima sumbangan sambungan wi-fi

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Lima buah sekolah kerajaan telah menerima sumbangan sambungan wi-fi dalam Majlis Penyerahan Fasa 2 Donate Data Wi-Fi pada majlis yang dihoskan oleh Progresif Sdn Bhd bersama para penaja, di Ibu Pejabat Progresif, hari ini.
     
    Acara itu menandakan kejayaan pelaksanaan keupayaan sambungan Internet yang memberi manfaat kepada pelajar dan guru.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh yang menyaksikan penyampaian plak kempen Adopt a School daripada penaja kepada sekolah-sekolah.
     
    Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dalam ucapan alu-aluannya berkata, progresif gembira dengan komitmen yang dikongsi bersama pihak berkepentingan dalam meningkatkan sistem pendidikan tempatan melalui kempen berkenaan. 
     
    “Progresif menjadi tunjang dalam melengkapi komuniti dengan pembelajaran digital dengan sumber dalam talian yang penting, khususnya sambungan wi-fi, untuk menyokong pendidikan berkualiti sejajar dengan Wawasan Brunei 2035. 
     
    Dr Chin Wei Keh, Hajah Nurul Haniah bersama wakil penaja dan wakil sekolah yang menerima tajaan bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Hajah Nurul Haniah semasa menyaksikan penyampaian plak tajaan kepada sekolah yang ditaja dalam Fasa 2 Donate Data Progresif. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    “Kami juga berbesar hati kerana bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan sejak permulaan Fasa 1 Donate Data pada 2021,” tambahnya.
     
    Kempen Adopt a School adalah satu inisiatif yang memberi tumpuan kepada tajaan sambungan Internet, yang diberikan oleh pihak berkepentingan di negara ini. 
     
    Pemilihan sekolah telah ditentukan dan disenaraikan oleh Kementerian Pendidikan, untuk memudahkan proses untuk pihak berkepentingan membuat sumbangan bagi meningkatkan sumber Internet dalam pendidikan.
     
    Sekolah-sekolah yang menerima tajaan dalam fasa 2 kempen berkenaan adalah Pusat Tingkatan Enam Tutong, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut, Sekolah Menengah Rimba dan Sekolah Menengah Menglait.
     
    Antara wakil penaja yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim; Pengurus Besar Audley Insurance Sdn Bhd, Dayang Siti Zulaikha binti Haji Awang Damit; Ketua Pegawai Kewangan BELTS Brunei, Loo Mei Tim; Timbalan Pengarah Urusan DD’ Pykes, Awang Mohd Hisyam Al-Yura bin Pengiran Haji Zainal Abidin; Pengarah Exceltech Solution Sdn Bhd, Awang Rizal bin Haji Adnin bersama pengurusan dan ahli daripada pihak berkepentingan dan progresif.
     
    Fasa 1 kempen Donate Data telah dilancarkan pada 2021 dan dipelopori oleh Kementerian Pendidikan, yang antara lain bertujuan untuk menyokong pembelajaran dalam talian dan meningkatkan gaya hidup digital bagi pelajar dan guru di seluruh negara.
     
    Konsep berkenaan melibatkan sumbangan orang ramai melalui SMS, yang kemudian ditukar menjadi nilai data bagi menaja sekolah-sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda