Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima suspek baharu rompakan Louvre ditahan

    PARIS, 30 OKT – Polis Perancis telah menahan lima lagi individu, termasuk suspek utama, berhubung kes rompakan berprofil tinggi di Muzium Louvre awal bulan ini, menurut Pejabat Pendakwa Paris hari ini.

    “Kami sudah lama mengawasi pergerakannya,” kata Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau, mengenai suspek utama, sambil menambah bahawa tiada barang kemas yang dianggarkan bernilai sekitar AS$102 juta ditemui setakat ini.

    Bukti DNA mengaitkan suspek utama dengan kejadian tersebut, dan beliau dipercayai antara empat anggota kumpulan yang melaksanakan rompakan berani pada 19 Oktober itu.

    “Bagi individu lain yang kini dalam tahanan polis, mereka merupakan pihak yang mungkin dapat memberikan maklumat mengenai apa yang berlaku,” katanya, sambil menambah bahawa terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut mengenai para suspek.

    Kelima-lima suspek ditahan kelmarin di sekitar Paris, terutamanya di kawasan Seine-Saint-Denis, berhampiran ibu kota.

    Dua suspek yang ditahan pada Sabtu lalu telah didakwa atas kesalahan mencuri dan konspirasi jenayah kelmarin selepas mereka “sebahagiannya mengakui pertuduhan”. Mereka kini ditempatkan dalam tahanan pra-perbicaraan.

    Puluhan penyiasat sedang memburu empat pencuri yang menggunakan sebuah lori dengan lif bergerak serta peralatan pemotong untuk menceroboh ke galeri tingkat satu muzium tersebut sebelum melarikan diri dengan lapan barang kemas berharga.

    Antara barang yang dicuri ialah rantai zamrud dan berlian yang pernah dihadiahkan Napoleon I kepada isterinya, Permaisuri Marie-Louise, dan mahkota milik Permaisuri Eugenie yang dihiasi hampir 2,000 butir berlian. – AFP

    Sidang media berhubung pembukaan siasatan kehakiman terhadap kes rompakan barang kemas Muzium Louvre, di Paris pada 29 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda