BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Baiduri, Bank Standard Chartered (StanChart) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) akan menjalankan satu tinjauan sebagai sebahagian daripada usaha persediaan bagi pembangunan Pelan Tindakan Pembayaran Digital (2026–2030) yang berlangsung hari ini hingga 10 September tahun ini.
Tinjauan tersebut dijalankan bertujuan bagi menilai penggunaan, keutamaan, cabaran dan tahap kesedaran orang ramai mengenai pembayaran digital.
Hasil tinjauan itu akan membantu dalam merangka strategi untuk pelan tindakan akan datang, agar pembayaran digital di Brunei Darussalam menjadi lebih mudah, selamat dan selaras dengan keperluan pengguna.
Tinjauan akan diedarkan secara dalam talian melalui laman web rasmi BDCB dan juga secara fizikal.
Bank-bank yang terlibat akan mengedarkan tinjauan tersebut kepada pelanggan yang hadir secara bersemuka atau yang terpilih. Bagi menyokong inisiatif itu dan bagi mencapai hasil yang berkesan, para pelanggan bank digalakkan memberikan maklum balas yang jujur semasa menjawab tinjauan tersebut.
BDCB juga memaklumkan, semua maklum balas akan dirahsiakan dan pihak BDCB tidak akan mengumpul sebarang maklumat peribadi kecuali data demografik seperti berikut, kumpulan umur, tempat tinggal (kampung sahaja), jantina, status pekerjaan dan pendapatan bulanan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap sebarang tinjauan yang menyamar sebagai BDCB dan cuba mendapatkan maklumat peribadi serta kewangan melebihi data yang dinyatakan, seperti maklumat akaun bank, kad kredit atau debit dan sebagainya.
