Lima tahun penjara lakukan pelbagai kesalahan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Seorang lelaki yang tidak serik-serik melakukan kesalahan dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Perantaraan selepas mengaku bersalah atas pelbagai kesalahan.

Hukuman terhadap Johari bin Haji Jaya, 31, diputuskan Hakim MuhammedFaisal bin PDJLD DSP Haji Kefli selepas mengambil kira senarai panjang kesalahan membabitkan curi tertuduh.
Tertuduh didakwa menceroboh sebuah rumah di Kampung Biong, Jalan Rambai, Tutong untuk melakukan curi antara pukul 5 dan 6 pagi pada 19 November 2019.

Dia juga menyalahgunakan sebuah kereta dan memalsukan plat pendaftarannya pada 18 November 2019. Manakala itu, rakannya, Awangku Abdul Fadzri bin Pengiran Abdul Karim yang berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan akan dibicarakan pada 18 Mei 2020.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah‘Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh dan Ahmad Firdaus bin Mohammad.