Lima tahun ‘peram’ single Tentang Rasa

Penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma akhirnya melancarkan single Tentang Rasa yang diciptanya sebelum bergelar isteri kira-kira lima tahun lalu.

Bagi Yuka, single Tentang Rasa mempunyai nilai sentimental apabila didedikasi buat suaminya yang juga komposer dan pemuzik, Ahmad Jeffny Kamar.

Sungguhpun single itu sudah lama terperam, namun, penyanyi yang mencipta nama di Malaysia itu tetap mahu memperdengarkannya kepada peminat.

Akuinya, single Tentang Rasa mempunyai nilai sentimental pada saat diijabkabulkan.

“Ibarat cinta yang tulus dan murni tanpa ada maksud tersembunyi. Tanpa ada syarat tertentu, ia membabitkan perasaan menyayangi dengan sepenuh hati.

Single Tentang Rasa sudah lama terperam, namun Yuka tetap mahu memperdengarkan karya kepada peminat. – Agensi

“Single Tentang Rasa adalah luahan hati yang sangat murni, jujur, dan tulus. Ia menyatukan rasa sepasang kekasih yang saling mengisi dan melengkapi satu sama lain.

“Secara peribadi, saya suka dengan lirik dan melodi yang sangat romantik,” katanya.

Yuka berkata, dia mengambil masa selama seminggu untuk menyempurnakan single terbitan Rocketfuel Entertainment itu.

“Saya berterima kasih kepada suami yang banyak membantu. Suami juga bertindak sebagai penulis lirik dan komposer bersama,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi yang pernah diangkat Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) ke-15 itu berkata, bukan mudah menempa nama sejak sedekad mencari rezeki di Malaysia. – Agensi