Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan berangkat mengurniakan anugerah biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bagi sesi pengajian 2025/2026 pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Pada tahun ini, lima orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa berkenaan iaitu Awangku Muhammad Eljaz Mateen bin Pengiran Muhammad Khairul Nizam, lepasan Maktab Sains Paduka Seri Begawan, akan meneruskan pe-ngajian Sarjana Muda dalam jurusan Fizik di University College London, United Kingdom (UK); Awang Ahmad Danish Hakimi bin Shufiady, lepasan Sekolah Antarabangsa Brunei, akan meneruskan pengajian Sarjana Muda dalam jurusan Sains – Matematik dan Statistik di University of Melbourne, Australia.
Sementara itu, Awang Muhammad Saedon bin Haji Sahralidin, lepasan Sekolah Antarabangsa Jerudong, akan meneruskan pengajian Sarjana Muda dalam jurusan Perubatan, Pembedahan dan Obstetrik di Trinity College Dublin, The University of Dublin, Republik Ireland; Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd Salleh, lepasan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, akan meneruskan pengajian Sarjana Muda dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Ma’had Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
Manakala itu, Dayang Dayana binti Adi Rani Soffian, lepasan Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, akan meneruskan pengajian Sarjana Muda dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
Majlis turut diserikan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis turut diisi dengan sesi beramah mesra antara Baginda Sultan dengan penerima anugerah, serta sesi bergambar ramai bersama penerima, ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, ahli-ahli Lembaga
Pengarah Yayasan, Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa Sultan’s Scholar, pegawai kanan kementerian, sebahagian alumni Sultan’s Scholar dan pengetua-pengetua institusi tingkatan enam seluruh negara.




