BERLIN, 30 OGOS – Nahas yang melibatkan beberapa trak, termasuk satu yang membawa bahan berbahaya dan satu lagi membawa tangki nitrus oksida, membunuh dua orang di lebuh raya Jerman, menurut agensi berita Jerman dpa.
Siri perlanggaran itu berlaku kelmarin di kawasan tapak pembinaan di lebuh raya A2 berhampiran bandar Magdeburg. Trak dengan bahan berbahaya itu merempuh tiga trak lain dan kemudian trak kelima yang sarat dengan tangki tekanan tinggi itu merempuh empat yang lain, kata dpa, hari ini.
Kebakaran meletus dan api merebak dengan cepat dari trak dengan kontena nitrus oksida ke trak yang membawa bahan berbahaya. Tidak jelas apa jenis bahan yang dibawa oleh trak terakhir, tetapi pihak berkuasa berkata bahan toksik telah dilepaskan.
Beberapa letupan dilaporkan dan penduduk berhampiran diminta tinggal di rumah dengan tingkap ditutup untuk mengelakkan terdedah kepada asap.
Pihak berkuasa menetapkan peri-meter keselamatan dengan radius 650 meter di sekitar lokasi kemalangan yang dibenarkan masuk oleh sesiapa, termasuk anggota penyelamat, kata dpa.
Pegawai berkata tidak jelas sama ada lebih ramai orang maut kerana anggota kecemasan tidak dapat mengakses sepenuhnya lokasi nahas antara bandar Theessen dan Burg. Seorang dilaporkan cedera.
Satu bahagian lebuh raya A2 kekal ditutup hari ini berikutan risiko letupan yang lebih banyak, kata dpa. – AP
