Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Lima orang warganegara asing telah pun dijatuhkan hukuman di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 susulan operasi-operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perundangan dan Perhubungan Antarabangsa, JIPK, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), lelaki warga Filipina berusia 64 tahun, Madon Jailani Marrok dijatuhkan hukuman atas kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.
Individu berkenaan dijatuhkan hukuman sembilan bulan penjara dan denda sebanyak $800 sebagai gantian kepada hukuman sebat. Walau bagaimanapun, individu itu telah gagal membayar jumlah gantian kepada sebatan tersebut dan menjadikan hukuman penjara kepada 10 bulan.
Pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman dan dijalankan oleh pegawai pendakwa JIPK, Hadiyatul Majeedah binti Awang Usin.
Kes berkenaan merupakan susulan daripada Operasi Bersepadu Jabatan Perikanan 05/2024 bersama agensi-agensi berkaitan iaitu JIPK, Jabatan Buruh dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) terhadap beberapa buah kapal menangkap ikan dan sebuah rumah di Mukim Serasa.

Sementara itu, hasil Operasi Kabat JIPK 58/2024 yang telah dilaksanakan di kawasan perniagaan di Mukim Serasa telah pun membawa kepada pendakwaan terhadap tiga orang warganegara asing.
Sujatmiko, lelaki warganegara Indonesia berusia 50 tahun, dijatuhkan hukuman lima bulan penjara dan denda sebanyak $800 sebagai gantian kepada hukuman sebat. Individu tersebut telah pun gagal membayar jumlah gantian kepada sebatan tersebut dan menjadikan hukuman penjara kepada enam bulan atas kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17.
Sementara itu, dua orang lelaki warganegara Indonesia, Syahrul Efendi, 40, dan Sunardi, 27, dijatuhkan hukuman atas kesalahan Bab 15(1)(b) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu bersubahat untuk membantu Sujatmiko keluar dari Negara Brunei Darussalam.
Kedua-dua individu tersebut dijatuhkan hukuman dua tahun penjara dan tiga kali sebatan.
Kes pendakwaan Sujatmiko, Syahrul Efendi dan Sunardi dibuat di hadapan Majistret Sharifah Nur Baqiyah binti Malai Shahran dan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JIPK, Haminah binti Haji Awang Salleh.
Manakala itu, Operasi Kabat JIPK 56/2024 yang menyasarkan sebuah pondok di Mukim Kilanas yang telah dilaporkan sebelum ini telah pun membawa kepada hukuman enam bulan pemenjaraan terhadap seorang lelaki warga India berumur 60 tahun, Shavukathali Kaboor Sahib, kerana tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.
Pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Abdul ‘Azim bin Othman dan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JIPK, Mohammad Zul Azri bin Haji Ranee.
Oleh yang demikian, JIPK mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pesalah-pesalah imigresen untuk menghubungi terus hotline JIPK.

