Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Pasukan Limbang FA melebarkan rekod tanpa kalah selepas membenam pasukan Kasuka FC 5-2 pada kejohanan Bola Sepak Liga Jemputan Piala Lela Cheteria di Padang dan Balapan, Berakas, hari ini.
Muhammad Nikwan Messi Rezzki Rosli lebih awal melaung amaran bagi pasukan Limbang FA apabila menyerang pantas itu berjaya merobek gawang Kasuka FC seawal minit ke-3.
Namun pasukan Kasuka FC bijak meredakan kegembiraan penyokong lawan selepas penyerang tinggi lampai dari Iran, Muhd Reza Rahmania Hassan menyamakan kedudukan di minit ke-6 untuk jaringan 1-1.
Percaturan pasukan jolokan Northern Buffalo itu mempamerkan aksi lebih kemas menerusi set pieces yang sering meroboh pertahanan Kasuka FC dan Gibson Lapo Padin bijak merampas bola untuk memperdayakan penjaga gol Kasuka FC di minit ke-11.
Tiga minit sebelum tamat babak pertama, Muhammad Sharin berjaya merubah kedudukan menjadi 3-1 selepas bijak memanfaatkan umpanan rakan sebelum menewaskan penjaga gol Kasuka FC, Muhd Safwan Aflie Muhd Shahrin.
Limbang FA berjaya mengekalkan rentak pantas di babak kedua dan kelincahan Muhd Nikwan Messi Rezzki Rosli terus menyerlah di minit ke-52 apabila melepaskan rembatan yang menggegarkan gawang Kasuka.
Pasukan Kasuka FC seterusnya memecah bentang pertahanan Limbang FA di minit ke-64 menerusi Arsyad Taqiuddin namun sentuhan jaringan penyerang itu tidak cukup menyuntik semangat rakan apabila Limbang FA kembali bertenaga dengan menyaksikan Muhd Nazzrol Hassan memuktamadkan jaringan kemenangan di minit ke-68 dengan kedudukan 5-2.
“Kami sudah menjangkakan pertemuan yang sengit bertemu dengan pasukan Kasuka FC namun saya gembira pemain-pemain bijak menyempurnakan peluang-peluang untuk mencipta jaringan,” jelas ketua jurulatih Limbang FA, Bulhaji bin Wahab.
Beliau juga memuji kegigihan anak buahnya yang berjaya menutup ruang untuk pasukan lawan memperolehi jaringan sekalipun terpaksa akur dengan kemasukan dua jaringan.
Sementara itu, pasukan Miri FA pula memperoleh tiga mata percuma selepas pasukan Sekolah Sukan FC mengumumkan menarik diri daripada kejohanan ini.
Miri FA kekal di puncak liga dengan 19 mata manakala pasukan Limbang FA mengutip 17 mata untuk tangga kedua.