Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Limbang FA, YFL jalin kerjasama bola sepak serantau

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Persatuan  Bola Sepak Limbang (FA) dengan Yakin Football League (YFL) merupakan usaha kedua belah pihak bagi memperkukuh jaringan pembangunan bola sepak di negara berjiran.

    MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Timbalan Presiden Limbang FA, Frederick Lalung Ngilo dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YFL, Dayang Hernah Nur Imani binti Haji Jeffrey yang disaksikan oleh Pengerusi YFL, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang mewakili YFL  pada  majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Limbang, baru-baru ini.

    Terdahulu, CEO YFL, Dayang Hernah Nur Imani binti Haji Jeffrey berkata, MoU berkenaan  menjadi satu lagi langkah positif bagi menjalin kerjasama strategik dalam memperkembangkan sukan bola sepak dan futsal di wilayah utara Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.

    “Menerusi kerjasama ini juga, ia akan membuka lebih banyak peluang bakat pemain bola sepak semua peringkat sekali gus melahirkan generasi bola sepak yang akan menyinar satu masa nanti,” jelasnya.

    Timbalan Presiden Limbang FA, Frederick Lalung Ngilo dan Ketua Pegawai Eksekutif YFL, Dayang Hernah Nur Imani menandatangani MoU kerjasama dalam sukan bola sepak. – GAMBAR SERAHAN YFL

    Katanya, “kerjasama berkenaan merupakan sebagai langkah positif dalam mengukuhkan ekosistem bola sepak di kawasan sempadan Brunei dan Sarawak dalam membangun program akar umbi (grassroots) di samping menganjurkan kejohanan bola sepak bersama”.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Limbang FA, Frederick Lalung Ngilo mengakui MoU berkenaan akan memberi sesuatu kelebihan kepada kedua belah pihak dalam meningkatkan kerjasama bagi melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan berbakat yang akan dilatih bagi melahirkan pemain yang berkaliber satu masa nanti.

    “YFL tidak salah memilih Limbang FA sebagai rakan kongsi kerana di kawasan ini (Limbang) merupakan ‘lubuk’ pemain-pemain yang berbakat besar yang perlu diberi perhatian,” jelasnya.

    Beliau turut menambah kedua belah pihak juga berpeluang untuk meningkatkan keupayaan teknikal dan kejurulatihan serta pengurusan sukan melalui kursus, seminar dan bengkel teknikal bersama.

    Di samping itu, kerjasama rentas sempadan melalui pertukaran pemain, jurulatih dan pengadil akan membantu memperluas pengalaman dalam bidang-bidang berkenaan.

    Limbang FA berperanan penting dalam membangunkan bakat bola sepak di kawasan utara Sarawak dan terus komited memperkukuh struktur pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi hingga ke peringkat negeri.

    Majlis berkenaan juga menyaksikan penyerahan jersi tajaan daripada Hitune Group of Companies kepada pasukan bola sepak Limbang FA yang menyertai kejohanan Liga Bola Sepak Premier Sarawak.

    Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pengerusi YFL, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang kepada pasukan Limbang FA kepada Timbalan Presiden Limbang FA, Frederick Lalung Ngilo. 

    Pengerusi YFL, Pengiran Zamri menyampaikan jersi tajaan kepada Frederick Lalung Ngilo. – GAMBAR SERAHAN YFL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda