Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Limpahan sinar matahari beri manfaat

    NAIROBI – Berjalan melalui daerah perniagaan yang sibuk di Mombasa Road, Nairobi atau komuniti luar bandar di Daerah Kisii, Kenya, kita dapat melihat sesuatu yang menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak Iklim Afrika di Nairobi baru-baru ini – kuasa solar yang tidak disambungkan ke grid elektrik utama.

    Dengan atau tanpa galakan dasar kerajaan, semakin banyak keluarga dan perniagaan yang memilih tenaga solar luar grid dalam menghadapi grid yang tidak boleh diandalkan.

    Menurut Bank Dunia, bilangan minigrid iaitu sistem solar yang menyokong sebilangan rumah atau perniagaan, telah berkembang dari 500 di Afrika pada tahun 2000 kepada 3,000 hari ini.

    Di Kenya, harga elektrik telah meningkat disebabkan kos bahan api yang lebih tinggi, mendorong sesetengah individu membentuk grid tempatan mereka sendiri.

    Ia bukan sahaja rumah individu di Kenya: Kebolehpercayaan tenaga solar dan kos yang lebih rendah, walaupun modal pemasangan awal yang tinggi, telah menarik minat pengeluar keluli dan kilang minyak masak, yang merupakan beberapa pelanggan terbesar untuk sebuah syarikat yang berpangkalan di Nairobi.

    Shah tersenyum di mejanya di Nairobi, Kenya pada 1 September. – Gambar AP
    Juruteknik CP Solar, Mark Munyua memeriksa panel solar di atas bumbung sebuah syarikat di Nairobi, Kenya baru-baru ini. – Gambar AP
    Panel solar dilihat di atas bumbung sebuah syarikat di Nairobi, Kenya. – Gambar AP

    Pengarah Urusan CP Solar, Rashmi Shah, berkata syarikatnya telah memasang 25 megawatt sistem solar dalam tempoh enam tahun terakhir. “Ia adalah sumber tenaga yang sangat bersih,” katanya dan pelanggan dapat meraih semula kos permulaan mereka melalui penjimatan dalam tempoh empat tahun pertama.

    “Kami tidak mencemarkan udara sama sekali; kami tidak menyebabkan peningkatan suhu; kami tidak menjejaskan iklim Bumi.

    “Jadi itulah sebabnya semakin banyak tumpuan diberikan kepada tenaga yang lebih bersih,” katanya kepada The Associated Press.

    Lebih setengah bilion orang di sub-Sahara Afrika tidak mempunyai akses elektrik yang boleh diandalkan. Gangguan bekalan elektrik adalah perkara biasa.

    Tenaga boleh diperbaharui lebih diandalkan tetapi pelaksanaannya untuk rantau ini masih belum dipenuhi. Negara-negara Afrika di bawah Sahara mempunyai 60 peratus daripada potensi solar dunia.

    “Cahaya matahari hampir sepanjang tahun di Afrika menjadikan kami unik,” kata Presiden Kenya, William Ruto dalam sesi menteri pada sidang kemuncak iklim baru-baru ini.

    Di Nigeria, seperti di Kenya, keadaan sedang berubah. Kebanyakan isi rumah bergantung kepada penjana petrol bagi mendapatkan tenaga, tetapi baru-baru ini kerajaan menghapuskan subsidi petrol, mendorong minat yang semakin meningkat dalam tenaga solar, menurut para peniaga.

    Hanya kira-kira separuh daripada warga Nigeria disambungkan ke grid, malah bagi mereka, gangguan bekalan elektrik adalah perkara biasa.

    Kerajaan Nigeria belum mengumumkan insentif bagi mempromosikan tenaga solar, seperti mengurangkan cukai import ke atas peralatan solar seperti yang dituntut oleh para peniaga.

    Walau bagaimanapun, apabila kerajaan tidak membantu, sektor swasta telah mengambil inisiatif dalam mempromosikannya dengan menawarkan isi rumah dan perniagaan kecil pilihan untuk membayar pemasangan solar mereka dari semasa ke semasa.

    “Masalahnya adalah kemampuan, tetapi kini pelanggan boleh membayar ansuran selama 18 bulan,” kata Tunde Oladipupo, ejen untuk Sun King, sebuah syarikat tenaga solar.

    Oladipupo, yang berpangkalan di Oyo, barat daya Nigeria, berkata syarikatnya turut melayani perniagaan kecil yang memerlukan tenaga seperti yang menggunakan peti sejuk beku atau mengepam air dari lubang gerudi.

    Selepas menangani isu kos permulaan yang tinggi, model itu telah terbukti menjadi penyelesaian bagi masalah sosial yang dicetuskan oleh krisis tenaga Nigeria dalam isi rumah yang kurang mendapat perkhidmatan bekalan elektrik dan berpendapatan rendah.

    Bagi Monsurat Qadri, cabarannya ialah membantu anak perempuannya yang masih kecil membuat kerja rumah pada waktu petang ketika tiada cahaya. Elektrik grid tidak tersedia dan pilihan lain, penjana, adalah terlalu mahal.

    “Tetapi sekarang, saya tidak lagi bimbang tentang pencahayaan,” kata Qadri. Dia telah memasang sistem suria kecil yang mampu menyalakan lima mentol dan kipas, dan membayar ansuran setiap bulan adalah mudah baginya.

    Di Nigeria, tidak seperti Kenya, penggunaan tenaga solar untuk industri adalah jarang.
    “Tiada satu pun setakat yang saya tahu,” Mohammed Ettu, yang mengendalikan Makhade Power Solutions di Lagos, berkata mengenai pengeluaran oleh industri besar di Nigeria yang menggunakan tenaga solar.

    Dalam kuasa ekonomi ketiga terbesar di sub-Sahara, Afrika Selatan, kerajaan mengumumkan dasar baharu pada 2021 yang membenarkan syarikat perlombongan dan operasi perindustrian besar menjana sehingga 100 megawatt elektrik mereka sendiri, meningkat daripada hanya satu megawatt, bagi mengurangkan kebergantungan mereka kepada grid nasional dan mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui.

    Akibatnya, beberapa syarikat termasuk Sibanye Stillwater, Anglo American Platinum, dan Gold Fields telah mengumumkan rancangan untuk menjana sejumlah besar tenaga boleh diperbaharui dalam jangka pendek.

    Satu lagi contoh peralihan ini ialah kilang pemasangan kenderaan Ford di Silverton, Pretoria, yang pada masa ini memperoleh lebih 35 peratus tenaga elektriknya daripada tenaga solar.

    Afrika Selatan juga mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungannya kepada kuasa arang batu. Stesen jana kuasa Komati di Mpumalanga telah ditamatkan operasinya pada 2022 dan akan ditukar kepada penjanaan tenaga bersih dengan lebih daripada 150 megawatt tenaga solar, 70 megawatt tenaga angin dan 150 megawatt bateri simpanan.

    Di tengah-tengah krisis elektrik yang berterusan tahun ini, kerajaan Afrika Selatan menawarkan insentif cukai kepada isi rumah dan perniagaan yang membeli sumber tenaga boleh diperbaharui dan kepada isi rumah yang memasang panel solar di atas bumbung mereka.

    Perniagaan yang memasang tenaga boleh diperbaharui boleh mengurangkan pendapatan bercukai mereka sebanyak 125 peratus daripada kos pelaburan tersebut. Isi rumah yang memasang solar atas bumbung akan dapat menuntut rebat sebanyak 25 peratus daripada kos panel tersebut, sehingga maksimum R15,000 (AS$779).

    Kembali ke Kenya, walaupun CP Solar memberi tumpuan kepada industri, ia juga melakukan beberapa pemasangan di rumah.

    Salah satunya ialah di rumah pengarahnya, Shah. Ini membolehkan beliau tidak bergantung langsung kepada grid, menyelamatkannya daripada gangguan bekalan elektrik nasional baru-baru ini di mana orang lain yang bergantung pada Kenya Power and Lighting Company, termasuk lapangan terbang utama negara, berada dalam kegelapan selama berjam-jam.

    “Saya gembira di rumah menonton Supersport pada hari itu. Saya rasa ada perlawanan bola sepak akan datang,” kata Shah.

    Kos elektrik yang tinggi di negara ini, antara 20 hingga 30 syiling Kenya setiap kilowatt-jam (AS$0.14 hingga AS$0.20) juga telah menggalakkan peralihan itu, kata Shah.

    Banyaknya cahaya matahari di Kenya dan Afrika telah memberi kelebihan kepada penjanaan tenaga solar, sesuatu yang disifatkan Shah sebagai peluang yang ‘sangat bertuah’ untuk memiliki ‘kuasa percuma’. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda