Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Pengurniaan kerakyatan datang bersama tanggungjawab, oleh itu, mereka yang telah dikurniakan kerakyatan, adalah menjadi kewajipan selaku rakyat di Negara Brunei Darussalam untuk menumpukan taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagaimana dituntut oleh agama Islam.
“Taat setia ini tidak sahaja pada lafaz tetapi mesti lahir dari hati sanubari seseorang dengan disertai oleh sikap yang benar-benar mencerminkannya.”
Perkara itu ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan ke-33 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan setiap rakyat di negara ini untuk mematuhi perlembagaan dan undang-undang negara.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan Melayu Islam Beraja (MIB) setiap rakyat wajib memahami dan mengamalkan nilai-nilai MIB yang telah menjadi landasan kehidupan rakyat dan penduduk negara ini.
“MIB adalah asas kepada sistem pemerintahan beraja di negara ini yang telah wujud lebih 600 tahun dan berjaya membawa negara kita ke tahap kemajuannya masa ini. MIB adalah landasan bagi kehidupan rakyat dan penduduk negara ini yang terdiri daripada berbagai etnik dan bangsa hidup dalam harmoni, hormat-menghormati, bersatu padu, dalam suasana keamanan dan ketenteraman lagi sejahtera.”
Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa MIB hendaklah terus difahami dan diamalkan bagi memastikan penduduk di negara ini terus dapat menikmati kehidupan dalam suasana keamanan dan ketenteraman serta dapat pula mencapai kemajuan.
Terdahulu dalam majlis berkenaan, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Dayang Liza Suriani binti Haji Ibrahim dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa seramai 389 orang yang telah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadi rakyat Baginda, iaitu di bawah Bab 6(1) yang terdiri daripada anak-anak kepada ibu warganegara Brunei, anak-anak kepada ayah warganegara Brunei, anak-anak angkat kepada ibu bapa angkat warganegara Brunei dan juga di bawah Bab 5(6) mengikut suami warganegara Brunei daripada Akta Taraf Kebangsaan, Brunei, Penggal 15. Beliau turut menyatakan bahawa upacara majlis penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan ke-33 diadakan selama dua hari iaitu seramai 194 orang penerima pada hari ini dan seramai 195 orang penerima esok.
Majlis diteruskan dengan penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin.
