Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Bagi mencegah dan membanteras sebarang anasir-anasir negatif dan gejala-gejala jenayah di negara ini, Balai Polis Lamunin baru-baru ini telah mengendalikan program rondaan Pengawasan Kejiranan (PK) bersama ahli-ahli PK Kampung Padnunok, Kiudang dan Mungkom serta Lamunin di beberapa kawasan kampung-kampung tersebut.
Rondaan diketuai oleh Penolong Pegawai Penguasa Balai (A/OCS) Inspektor Shahrin bin Serbini bersama sembilan anggota dan ahli-ahli PK.
Rondaan bagi pencegahan jenayah tersebut bermula pada jam 11 malam itu dari kawasan jalan-jalan persimpangan diikuti dengan Jalan Andaru, kawasan Wasai Batu Mapan, Jalan Batang Paip, kawasan perkebunan serta kawasan gerai dan persekitaran kampung. Hasil rondaan tidak mendapati sebarang penemuan yang mencurigakan.
Sementara itu, di Limau Manis, beberapa tempat di kawasan Kampung Junjongan turut menjalankan rondaan terutama sekali di kawasan-kawasan rumah kediaman dan kawasan perkebunan yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Limau Manis bersama ahli PK Kampung Junjongan, Limau Manis.
Hadir bagi sama mendukung program tersebut ialah Penolong Penguasa Balai Polis Limau Manis (A/OCS) Inspektor Haji Mohammad Din bin Tanjong bersama Pemangku Ketua Kampung Junjongan, Haji Tamam @ Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang.
Selain itu, ahli-ahli PK turut meninjau kawasan sekatan jalan raya yang dikendalikan Balai Polis Limau Manis bertujuan bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tugasan pihak polis dalam menangani tindakan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh para pemandu sama ada berkaitan dengan Akta Kesalahan Lalu lintas Jalan raya atau berkaitan dengan Akta Kesalahan Jenayah.
Program PK akan sentiasa giat membuat rondaan-rondaan pencegahan jenayah di kawasan-kawasan yang dianggap tumpuan atau dipercayai sering berlakunya kejadian-kejadian jenayah.
Sementara itu PPDB khususnya balai-balai polis di seluruh negara akan sentiasa berterusan mengadakan program rondaan PK seperti ini bagi memastikan perlanggaran undang-undang negara sentiasa ditangani, dipantau dan dibanteras dengan sebaiknya.