Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Dalam usaha menggalakkan penerimaan digital dalam kalangan semua segmen masyarakat, terutama golongan warga emas, BIBD telah mengambil bahagian dalam inisiatif Digital Warga Emas iaitu program anjuran Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), baru-baru ini.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, BIBD telah mengadakan sesi penerangan mengenai cara-cara mengenal pasti penipuan, yang menekankan komitmen bank untuk melindungi pelanggan daripada penipuan kewangan.
Semasa ceramah itu, BIBD menekankan kepentingan memperkasa komuniti, terutama golongan warga emas, dengan alat dan kesedaran yang diperlukan bagi mengenal pasti dan mengelakkan penipuan.
Inisiatif itu selaras dengan usaha berterusan BIBD untuk mendidik orang ramai mengenai pencegahan penipuan dan memperkasa pelanggan agar tidak terperangkap dalam skim penipuan.
Pada sesi itu, bank turut mengongsikan beberapa contoh aduan pelanggan dan hantaran media sosial yang tular.
Kebanyakan kes-kes tersebut melibatkan pelanggan yang menyalahgunakan akaun mereka sendiri dengan menyewakan akaun mereka kepada pihak ketiga, di mana tindakan ini bukan sahaja membahayakan pelanggan dari segi kerugian kewangan, tetapi juga mengancam keselamatan ekosistem kewangan yang lebih luas.
Selain menyentuh trend yang semakin meningkat di mana individu terjebak dalam skim cepat kaya atau skim piramid.
BIBD juga bekerja sama dengan pihak berkuasa yang relevan untuk menyiasat aduan-aduan tersebut bagi memastikan setiap kes ditangani dengan serius.
Sementara itu, bank terus komited untuk mengekalkan integriti sistem kewangan di Brunei dan mempertingkat langkah-langkah keselamatannya.
Melalui penyertaan dalam inisiatif seperti Digital Warga Emas, BIBD kekal fokus dalam mempromosikan literasi digital dan tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab, terutama dalam kalangan masyarakat yang mudah terjejas.
Dalam hubungan itu, bank turut menggesa semua pelanggannya untuk sentiasa berwaspada, mengelakkan daripada berkongsi butiran perbankan peribadi dan berunding dengan wakil bank jika ragu-ragu tentang kesahihan mana-mana tawaran atau permintaan kewangan.
BIBD akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan menyokong AITI dalam misi untuk meningkatkan penglibatan digital dan keselamatan kewangan untuk semua masyarakat, selaras dengan komitmen bank untuk memupuk masyarakat yang celik digital dan berdaya saing di negara ini.