SEOUL, 14 FEB – Bekas bintang Manchester United dan England, Jesse Lingard, berkata FC Seoul boleh ‘mencapai apa sahaja yang kami mahu’ ketika dia bersedia untuk musim keduanya selepas membuat perpindahan mengejut ke kelab bola sepak Korea Selatan.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu memulakan karier K Leaguenya dengan sukar selepas menyertai Seoul pada Februari tahun lalu, dengan dikecam secara terbuka oleh jurulatihnya dan terlepas sebahagian awal musim akibat kecederaan.
Namun, Lingard kembali untuk memimpin pasukannya menduduki tempat keempat, mengambil alih tugas kapten pada pertengahan musim dan menjaringkan enam gol dalam 26 perlawanan.
Kempen K League yang baharu akan bermula pada Sabtu ini dan Lingard berkata dia mempunyai harapan yang tinggi.
“Kami tamat di kedudukan yang bagus tahun lepas,” katanya kepada wartawan. “Musim lalu sukar tetapi kami mengatasinya, mentaliti kami bertambah baik sepanjang musim.
“Musim ini, dengan keyakinan dan kepercayaan, dan mentaliti yang betul serta tumpuan di padang latihan dan di atas padang, saya percaya kami boleh mencapai apa sahaja yang kami mahu capai musim ini.” – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P22-4-AFP-web_15022025.jpg)