Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lion Air tawar harga istimewa buat mahasiswa 

    JAKARTA, 30 Ogos – Golongan pelajar Malaysia di Indonesia kini berpeluang  melancong ke seluruh negara itu pada harga tiket penerbangan istimewa syarikat penerbangan tambang rendah Lion Air Group.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air Group, Edward Sirait berkata tawaran harga tiket istimewa itu adalah sebagai meraikan sambutan hubungan diplomatik ke-60 tahun ini.

    Katanya tawaran untuk mahasiswa Malaysia itu merangkumi semua pesawat domestik Lion Air Group termasuk Lion Air, Wings Air dan Batik Air untuk perjalanan domestik.

    “Ini merupakan suatu bentuk penghormatan Lion Air Group sempena peringatan 60 tahun terjalinnya kerjasama dua hala antara Indonesia dan Malaysia,” katanya ketika melancarkan program tawaran istimewa itu di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di sini semalam.  Katanya tawaran harga istimewa itu bagaimanapun berbeza dari satu wilayah ke wilayah lain, dan mahasiswa Malaysia hanya perlu mengisi data tertentu ketika membuat tempahan tiket.

    Terdapat lebih 5,000 mahasiswa Malaysia yang mengikuti pelbagai program pengajian di universiti-universiti di Indonesia.

    Lion Air Group mempunyai 332 pesawat pelbagai jenis termasuk Boeing 747-400s, 737-800, 737-900 ER, 737 MAX 8, ATR 72-500, ATR 72-600, Airbus A330-300s, Airbus A320 CEO, Hawker 900 XP dan EC 135-P2e.

    Sementara itu Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pihaknya menyambut baik tawaran itu kerana ia memberi peluang kepada golongan mahasiswa untuk meneroka destinasi pelancongan di Indonesia.

    Katanya sebagai pelajar, golongan itu pastinya akan mencari penerbangan tambang rendah untuk melancong dalam negara ini pada musim cuti atau ketika kelapangan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda