Saturday, October 26, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lipas hidup ditemui dalam perut lelaki

    NEW DELHI, 25 OKT – Doktor di sebuah hospital di New Delhi, India, terkejut apabila mendapati seekor lipas berukuran 3 sentimeter (cm) hidup di dalam usus kecil seorang pesakit yang mengadu sakit perut dan senak.

    Seorang lelaki berusia 23 tahun baru-baru ini datang ke Hospital Fortis, Vasal Kunj, untuk mengadu masalah perut yang dialaminya selama tiga hari. Dia mengadu sakit perut yang teruk dan kesukaran untuk mencerna makanan yang mengakibatkan kembung perut yang kerap.

    Menurut laporan Oddity Central, lelaki itu telah mengambil makanan jalanan di pasar malam beberapa hari sebelum itu dan mengesyaki ia menjadi punca masalah kesihatannya.

    Doktor memutuskan bahawa tindakan terbaik adalah dengan menjalankan Endoskopi Gastrointestinal Atas (GI), prosedur yang memeriksa bahagian atas saluran gastrousus, untuk mengetahui punca simptom lelaki itu.

    Apa yang tidak disangka ditemui mereka adalah seekor lipas hidup dalam badan di dalam usus kecil lelaki itu.

    “Sejak dua tiga hari lepas, pesakit mengalami senak dan kembung perut selepas makan. Semasa pemeriksaan rutin kami secara kebetulan ternampak lipas itu,” kata Dr Shubham Vatsya kepada akhbar Indian Express.

    Selepas menemui serangga hidup itu di dalam badan pesakit, pasukan doktor memutuskan untuk mengeluarkannya menggunakan endoskop dengan dua saluran satu untuk infusi udara dan air dan satu lagi untuk sedutan udara.

    “Kami mengaktifkan butang sedutan pada skop, berjaya menyedut lipas ke dalam saluran sedutan, menyingkirkannya dari badan dan menyelamatkan nyawa lelaki itu,” jepas Dr Vatsya menjelaskan, sambil menambah kegagalan mengeluarkan serangga secepat mungkin boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk penyakit berjangkit.

    Mengenai bagaimana lipas sepanjang 3cm itu berakhir di dalam usus lelaki malang itu, pakar gastroenterologi India membuat spekulasi bahawa ia mungkin merangkak ke bawah kerongkongnya semasa dia tidur, atau lelaki itu secara tidak sengaja menelannya ketika mengunjungi pasar malam.- Agensi

    Lipas yang ditemui dalam usus seorang lelaki yang sering mengadu senak perut. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda