Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lipas masuk hidung semasa tidur, nafas berbau 3 hari

    HAINAN, 6 SEPT – Seorang lelaki Cina merasakan sesuatu merayap ke hidungnya pada suatu malam mengakibatkan nafasnya berbau selama tiga hari seterusnya mendapati sesuatu yang aneh berada dalam saluran pernafasannya.

    Menurut Oddity Central, lelaki berusia 58 tahun di Haikou, sebuah wilayah di Hainan, China, baru-baru ini mengalami entomofobia atau ketakutan terhadap serangga yang paling teruk apabila mengetahui terdapat seekor lipas tersepit di dalam trakeanya.

    Pada suatu malam ketika beliau sedang tidur, beliau terjaga dengan perasaan aneh bahawa ada sesuatu telah merayap masuk ke hidung dan terus ke kerongkongnya. Setelah terbatuk beberapa kali untuk namun tiada apa-apa dapat dikeluarkan, dia terus menyambung tidurnya.

    Keesokan harinya, beliau telah melupakan kejadian malam tadi dan meneruskan perniagaannya sehingga beliau menyedari akan nafasnya yang berbau. Walaupun selepas tiga hari, bau nafasnya masih kurang menyenangkan dan mula batuk dengan mengeluarkan kahak berwarna kuning. Jadi beliau memutuskan untuk mendapatkan rawatan.

    Lelaki yang tidak dinamakan itu mula-mula pergi ke pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di Hospital Hainan, tetapi pemeriksaan pada saluran pernafasan bahagian atas mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan.

    Bagaimanapun, pesakit itu yakin bahawa ada sesuatu yang tidak kena, jadi beliau minta dirujuk ke Dr Lin Ling, seorang pakar respiratori dan penjagaan kritikal di hospital. Setelah imbasan CT dijalankan pada dada beliau, kelihatan bayang-bayang di segmen basal posterior lobus bawah kanan, yang menunjukkan bahawa terdapat objek asing telah tersangkut di sana. Tindakan yang disyorkan seterusnya ialah prosedur bronkoskopi invasif minimum.

    Keadaan lipas yang tersangkut semasa prosedur bronkoskopi dijalankan.

    “Semasa prosedur dijalankan, saya dapat melihat sesuatu dengan sayap berada di bronkusnya dengan jelas,” kata Dr Lin. “Benda asing itu diselaputi dengan banyak kahak. Selepas menyedut kahak di sekelilingnya, bendasing itu terdedah. Ia adalah seekor lipas.”

    Selepas mengeluarkan serangga berkenaan dari trakea lelaki itu, kawasan itu berulang kali dibasuh dan dibersihkan daripada kahak, melenyapkan bau busuk hilang sepenuhnya tidak lama kemudian. Lelaki berusia 58 tahun itu telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang keesokan harinya.

    Lipas yang telah dikeluarkan dari saluran pernafasan lelaki berkenaan. – Oddity Central

    Dr Lin Ling berkata bahawa kes pelik seperti itu sangat jarang berlaku, tetapi beliau menasihatkan sesiapa yang yakin bahawa mereka mempunyai benda asing yang tersekat dalam saluran pernafasan mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin. – Agensi

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda