Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lipat ganda amal ibadah pada Jumaat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, hari yang penuh keberkatan, kemuliaan dan juga hari untuk melipat gandakan amal ibadah ke hadrat Allah SWT, dan hari Jumaat ini juga terdapat beberapa amalan sunat yang dianjurkan agar ia dilaksanakan.
     
    Ini antaranya dengan memperbanyakkan bacaan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW, selain membaca Surah Al-Kahfi pada setiap hari Jumaat, di mana hari Jumaat adalah antara waktu mustajab untuk berdoa, dan diingatkan untuk memperbanyakkan doa pada waktu yang mustajab dan mulia ini.
     
    Perkara tersebut telah dikongsikan oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk Keistimewaan Hari Jumaat, di mana beliau turut menjelaskan tentang amalan yang disunatkan seperti mandi sunat, memakai pakaian yang terbaik, memakai wangi-wangian, tidak melangkah saf-saf orang lain dan diam ketika khatib sedang berkhutbah, seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
     
    Khatib turut menjelaskan, maksud ‘tanpa melangkahi kepala orang lain’ merupakan anjuran supaya datang awal agar tidak perlu memintas (melangkahi) barisan atau saf-saf jemaah.
     
    Katanya lagi, “Sembahyang Fardu Jumaat adalah perhimpunan mingguan yang memberikan manfaat besar kepada umat Islam, kerana di dalamnya ada disampaikan khutbah.
    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI
    “Khutbah pada hari Jumaat adalah cara terbaik untuk menyampaikan maklumat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam kerana pada hari Jumaatlah waktu muslimin tidak kira bangsa, pangkat atau rupa duduk berhimpun dan sembahyang berganding di antara satu sama lain,” tekannya.
     
    “Bukan itu sahaja, khutbah juga merupakan salah satu daripada lima syarat sah sembahyang Jumaat, sungguhpun besar peranan khutbah Jumaat itu, masih terdapat sesetengah orang tidak begitu memandang indah akan kepentingannya sehingga ada segelintir jemaah yang datang awal tetapi tidak terus masuk masjid.
     
    “Walaupun khatib sedang berkhutbah, mereka masih berada di luar masjid dan berbual-bual kosong, sehingga mereka mendengar iqamah dilaungkan, barulah mereka masuk ke dalam masjid,” tegasnya.
     
    Tambahnya lagi, “Ada juga yang tidak memberikan tumpuan ketika khatib sedang menyampaikan isi kandungan khutbah, kerana tertidur atau sedang bermain telefon bimbit.
     
    “Rasulullah SAW menegaskan, barang siapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat disampaikan, orang itu telah melakukan sesuatu perbuatan yang sia-sia,” tegas khatib.
     
    Maksud sia-sia dalam hadith tersebut ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala serta kelebihan sembahyang Fardu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah. 
     
    Menurut ulama, larangan dalam hadith tersebut tidak hanya terbatas dengan bermain anak batu, tegasnya, tetapi larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan.
     
    Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu.
     
    Ini kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman Internet, berkomunikasi melalui rangkaian sosial dan seumpamanya adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan.
     
    Khatib seterusnya menekankan, perbuatan itu hendaklah ditinggalkan kerana ia akan mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardu Jumaat.
     
    “Perhimpunan sembahyang Fardu Jumaat ini tidak terlalu lama, tidak ada kerugian apa-apa jika telefon bimbit ditutup seketika, tinggalkan buat seketika segala perkara dan urusan di dunia yang kurang penting apatah lagi yang sia-sia,” tegasnya.
     
    Khatib seterusnya mengingatkan, hadirkanlah hati dan seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan isikanlah seluruh jiwa raga dengan rasa khusyuk, taat dan takwa terhadap Allah SWT untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan sembahyang Fardu Jumaat. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda