Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Ramadan antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam kerana bulan ini terdapat di dalamnya satu malam yang penuh keberkatan, keistimewaan dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatulqadar.
“Lailatulqadar adalah malam yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW, malah kurniaan ini tidak pernah diberikan kepada umat yang sebelumnya,” katanya semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk Malam Yang Lebih Baik daripada Seribu Bulan.
“Antara sebab kenapa Lailatulqadar itu dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW saja adalah kerana Rasulullah SAW pernah memikirkan tentang umur umat dahulu yang panjang jika dibandingkan dengan keadaan umur umatnya yang pendek.
“Baginda sangat berdukacita kerana jika umatnya ingin berlumba-lumba dalam mengerjakan amal soleh dengan umat yang terdahulu, maka mustahil mereka dapat bersaing apatah lagi mengatasi, lantaran umur mereka yang pendek,” ujarnya.
Dengan rahmat Allah, maka dikurniakanlah malam yang penuh keberkatan kepada umat Nabi Muhammad SAW, dan pada malam tersebut juga, Allah mengampunkan dosa hambaNya yang beribadat dengan penuh keimanan kerana mengharapkan keredaan Allah.
Sehubungan itu, katanya, hendaklah kita memperbanyakkan dan melipatgandakan ibadat dan amal kebajikan bagi merebut kelebihan dan keuntungan yang tidak ternilai harganya.
Khatib turut mengingatkan, Lailatulqadar tidak ditentukan saat dan waktu kerana ia adalah perkara rahsia dan hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Hikmahnya adalah supaya kita tekun berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk beribadah dan membuat amal kebajikan pada setiap bulan Ramadan dan tidak akan hanya beribadat pada malam-malam yang tertentu sahaja.
“Walau bagaimanapun Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis Baginda, untuk mencari Lailatulqadar itu pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan dan pada tiap-tiap malam ganjil,” jelasnya.
Menurutnya lagi, walaupun kita tidak mengetahui secara pasti bila Lailatulqadar itu, tapi terdapat banyak tanda-tanda yang dapat membantu untuk menentukan sebagai Lailatulqadar.
“Sifat, rupa atau tanda-tanda Lailatulqadar, ia merupakan satu malam yang berkeadaan sunyi, seperti penuh ketenangan, serta bercahaya, suasana segar, tidak panas dan tidak pula sejuk, tetapi sederhana.”
Keadaan ini, jelasnya, akan berterusan sehingga terbit fajar dan tanda-tanda lain ialah ada waktu pagi, matahari akan naik berwarna putih, tidak memancarkan cahaya atau sinar yang terik.
Jika seseorang itu ditakdirkan bertemu dengan malam tersebut, maka hendaklah ia memperbanyakkan doa dan memohon keampunan ke hadrat Allah atas segala dosa yang telah dilakukan.
Dalam usaha untuk menghidupkan Lailatulqadar, khatib dalam khutbahnya seterusnya menyarankan untuk sama-sama mencontohi dan mengamalkan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Ini antaranya dengan beriktikaf, memperbanyakkan sembahyang sunat, membaca Al-Quran, zikir, istighfar, berdoa, sedekah, membangunkan dan mengajak ahli keluarga untuk sama-sama melakukan amal ibadat.
Beliau turut menyeru umat Islam untuk merebut peluang dengan meningkatkan lagi amal ibadat terutama pada 10 terakhir di bulan Ramadan dan berharap segala amal ibadat dan amal kebajikan yang dilakukan sepanjang bulan ini diterima Allah.