NEW DELHI, 20 NOV – Pegawai di ibu negara India hari ini melipatgandakan denda bagi orang yang tidak memakai penutup mulut dan hidung ekoran kes COVID-19 melambung tinggi, hospital dan kubur yang sesak walaupun kerajaan menolak untuk melakukan penutupan semula.
Kenaikan denda hingga 2,000 rupee yang diumumkan oleh ketua menteri New Delhi berlaku ketika jumlah kes COVID-19 India hampir mencecah angka sembilan juta, kedua tertinggi di dunia.
“Ada ketika kata-kata saja tidak jadi apa-apa, kita harus menjadi lebih keras,” kata ketua menteri, Arvind Kejriwal pada sidang media, yang mana beliau juga menulis di Twitter bahawa bandar raya berjumlah 20 juta penduduk itu berada di ‘landasan perang’.
India melaksanakan salah satu perintah berkurung paling ketat di dunia pada bulan Mac, tetapi sekatan terbabit memberi tamparan hebat kepada ekonomi dan sejak itu kerajaan melonggarkan sekatan.
Hanya segelintir orang memakai penutup mulut dan hidung – terutama di luar bandar besar – dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini pembeli telah memenuhi pasar sebagai persiapan untuk mengadakan beberapa festival keagamaan. – AFP