Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lipless crankbait versatil dalam pengunaannya

    Oleh Raz AS

    Lipless crankbait merupakan sejenis umpan tiruan berbadan keras (hardbodied lure) yang seperti mana dinyatakan melalui namanya, lipless, tidak mempunyai ‘lidah’ seperti pada kebanyakan jenis hardbodied lure yang lain.

    Lidah yang terdapat pada hardbodied lure berfungsi untuk melawan keapungan semula jadi sesuatu lure itu, oleh yang demikian lipless crankbait direka untuk tenggelam dan boleh digunakan pada pelbagai tahap kedalaman air dengan aksi bergoyang (wobbling) sisi-ke-sisi.

    Lipless crankbait yang juga dikenali sebagai rattle bait, merupakan lure berbadan pipih lebar yang bergoyang-goyang apabila tali ditarik. Kebanyakan lure jenis ini mempunyai dua bentuk mata kail treble, satu pada bahagian ekornya dan satu lagi pada sisi bawah, dengan split ring pada bahagian atas di mana tali akan diikat.

    Kebanyakan lipless crankbait mempunyai besi ball bearing atau knocker di dalamnya, yang akan menghasilkan bunyi untuk menarik perhatian sang ikan apabila ia digunakan. Walaupun ikan tidak mempunyai lubang telinga, namun telinga dalamannya (inner ears) cekap mengesan bunyi dan getaran di dalam air.

    Oleh yang demikian meskipun digunakan di perairan yang keruh atau kondisi cahaya yang rendah seperti memancing pada waktu malam, ikan tidak perlu bergantung sepenuhnya pada deria penglihatan untuk mengesan lure yang menghasilkan bunyi atau getaran.

    Lipless crankbait yang juga dikenali sebagai rattle bait, merupakan lure berbadan pipih lebar yang bergoyang-goyang apabila tali ditarik.

    Lipless crankbait merupakan lure yang sangat versatil penggunaannya, banyak teknik boleh digunakan bersamanya. Ia boleh digunakan di pelbagai tahap kedalaman air kerana ia tidak bersifat terapung, menjadikan ia lure yang berkesan untuk menjerat ikan yang berada di kawasan pertengahan air atau ikan yang berada di perairan yang cetek.

    Apabila tali digulung terus lipless crankbait akan menghasilkan aksi bergoyang dengan semakin laju gulungan dilakukan semakin kuat aksi yang dihasilkannya, apabila gulungan diperlahankan atau dihentikan lure ini akan jatuh ke bawah dengan aksi yang lebih lembut.

    Antara teknik yang boleh digunakan bersama lure ini adalah teknik gulungan terus (steady retrieve) sama ada dengan gulungan laju atau perlahan, teknik yo-yo di mana gulungan selang-seli dengan berhenti seketika untuk membolehkan lure jatuh ke bawah sebelum gulungan dilakukan kembali dan teknik vertical jigging di mana lure dijatuhkan ke dasar atau tahap kedalaman yang dimahukan dan joran diangkat-angkat perlahan.

    Apabila digunakan di kawasan perairan cetek atau berumpai, lipless crankbait boleh digunakan dengan teknik yang sama seperti menggunakan lure yang mempunyai yang lainnya, gulungan tali yang berterusan akan membolehkan lure ini untuk sentiasa berada betul-betul di atas dasar atau rumpai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda