MAURIAC, PERANCIS, 25 JULAI – Liane Lippert dari Jerman menguasai persekitaran yang licin dan mengatasi masalah tayar yang dihadapinya dalam perlumbaan yang berlangsung kelmarin untuk mencapai kemenangan dalam peringkat kedua Tour de France wanita, mendahului pemimpin perlumbaan, Lotte Kopecky dari Belgium.
Lippert mendapat kelebihan apabila ramai pesaingnya jatuh di jalan licin di kawasan Cantal, termasuklah Eva van Agt dari Belanda yang mengalami kecederaan otak selepas merempuh penghadang keselamatan ketika sedang mendahului, empat kilometer sebelum garisan penamat.
Lippert dari pasukan Movistar mengalahkan Kopecky di garisan penamat, dengan catatan masa 4 jam 13 minit 43 saat selepas menempuh jarak 151km dari Clermont-Ferrand ke Mauriac di rantau Auvergne di bahagian tengah selatan Perancis.
“Ia adalah persaingan yang sengit dari awal dan akhir, tetapi saya berada di tempat yang baik oleh pasukan saya,” kata Lippert yang berasa ‘lega dapat mengelak daripada terjatuh.’
Sebagai pakar trek, Kopecky menunjukkan kecekapannya dalam keadaan licin, terutamanya dalam jam terakhir perlumbaan dan malah terselamat daripada tayar pancit pada laluan terakhir.
“Saya kurang cengkaman pada meter terakhir. Saya faham kenapa apabila saya dapati selepas garisan bahawa tayar belakang saya pancit,” jelasnya.
Penunggang Belanda, Yara Kastelijn, Anouska Koster dan Van Agt, membuat percubaan lepas dengan 40km lagi, tetapi terperangkap di selekoh terakhir perlumbaan yang.
Juara bertahan, Annemiek van Vleuten, pilihan utama dari Belanda, jatuh di bukit Plaines, cabaran utama hari itu, 46km sebelum garisan penamat.
Kopecky kini memimpin Lippert dengan 49 saat dalam kedudukan keseluruhan, sementara van Vleuten ketinggalan hampir satu minit di belakang pendahulu. – AFP
