Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Rangkaian 4G dan sambungan Internet Negara Brunei Darussalam adalah lebih pantas berbanding kebanyakan negara-negara jiran Asia Tenggaranya, menurut satu laporan baharu oleh pakar pemetaan liputan wayarless berpangkalan di United Kingdom, OpenSignal yang disiarkan baru-baru ini.
Laporan bertajuk ‘The State of LTE’ menyatakan bahawa kelajuan 4G di negara ini diukur pada 17.48 Mbps yang meletakkan negara ini pada ranking ke-57 antara 88 negara yang ditinjau, manakala liputan ketersediaan 4G adalah pada 73.66 peratus yang meletakkannya di ranking ke-46. Dalam kategori ketersediaan rangkaian 4G di ASEAN, Brunei di tangga ketiga selepas Singapura dan Malaysia manakala dalam kelajuan 4G, Brunei di tempat kedua selepas Singapura.
Singapura mengungguli senarai dengan kelajuan purata 44.32 Mbps, diikuti Belanda (42.12 Mbps), Norway (41.2 Mbps) dan Korea Selatan (40.44 Mbps). Manakala bagi ketersediaan rangkaian 4G, Korea Selatan mendahului, diikuti Jepun, Norway dan Hong Kong.
Laporan global terbaru OpenSignal disiarkan selepas menganalisis 50 bilion kelajuan dihimpunkan dalam suku keempat 2017 untuk membandingkan prestasi rangkaian 4G di 88 buah negara. Laporan juga mendapati tidak terdapat peningkatan besar dalam kelajuan 4G antara negara-negara tertinggi dan ia hanya mencapai kelajuan 45 Mbps paling tinggi.
“Lebih daripada setahun sekarang, negara-negara terpantas di dunia tampaknya tersekat dalam corak seumpamanya, menghampiri namun tidak melepasi kelajuan 50 Mbps bagi kelajuan purata 4G,” menurut laporan itu. Ia bagaimanapun menambah, bahawa ketersediaan rangkaian 4G terus berkembang di seluruh dunia pada kadar kukuh.
Pelanggan di lima buah negara—Korea Selatan, Jepun, Norway, Hong Kong dan AS – kini mempunyai kesambungan Long Term Evolution (LTE) yang lebih daripada 90 peratus pada satu masa. Tiga bulan lalu, hanya dua negara mempunyai akses LTE.