Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    LISC 2019 tercatat dalam Malaysia Book Of Records

    LABUAN, 29 April – Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) ke-23 bagi 2019 melakar sejarah apabila dua acara antarabangsanya dicatat dalam The Malaysia Book of Records (MBR).

    Kedua-dua acara antarabangsa itu ialah Renang Menentasi Selat Labuan dan Cabaran Berkayak Mengelilingi Pulau yang jumlah pesertanya meningkat ke-185 orang (mengatasi rekod 2009 103 orang), dan satu rekod lain ialah laluan berkayak terpanjang di Malaysia iaitu sejauh 51.7km.

    Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata LISC 2019 telah mencatat pencapaian di luar jangkaan daripada segi bilangan peserta tempatan dan antarabangsa.

    “Kita mahu melihat acara tahunan ini terus diadakan untuk mempromosi Labuan sebagai venue untuk penganjuran sukan laut antarabangsa,” katanya pada majlis penutupan LISC 2019 di Medan Selera Labuan di sini malam tadi.

    Satu lagi acara antarabangsa LISC ialah Cabaran Memancing DAIWA di sekitar Pulau Layang-Layang dan Kepulauan Spratly yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pemancing dan penaja asing.

    Antara aksi para peserta Round Island Kayak Challenge yang diadakan bersempena Labuan International Sea Challenge hari ini. – Bernama

    “Kami amat yakin bahawa LISC akan menjadi acara berprestij Labuan dan kementerian akan terus memberikan sokongan kepada acara tahunan ini,” kata Khalid.

    Beliau menekankan mengenai perlunya membangunkan produk-produk pelancongan sama ada yang sedia ada atau produk-produk baharu yang hendak dibangunkan untuk memajukan industri pelancongan di Labuan.

    “Sudah tentulah kita memerlukan dana yang besar untuk mewujudkan produk-produk pelancongan yang baharu dan perlu mengambil masa untuk melaksanakannya dengan berjaya,” kata beliau.

    Khalid berkata kerajaan kini dalam perancangan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur di Taman Burung Labuan yang kini telah berusia 22 tahun.

    Beliau juga mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi projek pengubahsuaian besar-besaran Taman Burung Labuan tahun ini.

    Khalid berkata kementerian itu berharap pelancongan Labuan boleh dimajukan lagi untuk membantu menjana ekonomi tempatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda