Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lisdawati kenang telekung jahitan ibu

    Kejayaan jenama telekung tempatan Siti Khadijah mengingatkan pelakon versatil Lisdawati kepada kehidupan keluarganya yang serba sederhana satu ketika dahulu.

    Mengimbau kembali, Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 47, berkata beliau dan adik-beradiknya dibesarkan menerusi usaha gigih ibu mereka, Risda Chalidi, 69, menjahit dan menjual telekung bagi menyara keluarga

    “Bila saya tahu perjalanan jenama Siti Khadijah penuh dengan ranjau dan duri, saya ingat kembali perjalanan hidup saya dulu. Kami adik-beradik membesar dengan duit jualan telekung.

    “…. sebab itu saya rasa bangga dengan kejayaan Siti Khadijah dan terpanggil untuk menyokong jenama ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran ‘Mahani’, reka bentuk muka terbaharu jenama itu baru-baru ini.

    Pelakon drama bersiri Mitos Cinta Akira itu berkata ibunya menjahit telekung sejak kecil dan hanya berhenti secara beransur-ansur selepas beliau menceburi dunia lakonan selain kemunculan teknologi jahitan dari China yang menyebabkan permintaan berkurangan.

    “Mak sudah lama tidak menjahit. Sekarang dia banyak berehat dan belajar agama. Tapi saya masih simpan telekung yang dia jahit dulu. Saya jaga elok-elok dan sekali-sekala menggunakannya sebab ia satu-satunya kenangan yang sangat bermakna,” katanya.

    Sementara itu, Lisdawati mengakui fasa hidupnya mengalami titik perubahan besar selepas mengerjakan ibadah haji pada 2023, menjadikan beliau lebih mendalami soal kehidupan dan spiritual.

    “Bila kita tahu masa depan kita ialah kematian, kita mula berfikir tentang hidup sementara ini. Jadi, saya kena penuhi hidup dengan perkara yang Allah suka, buat baik dan terus berusaha menjadi hamba yang lebih baik,” katanya.

    Menurutnya, perubahan penampilannya yang lebih sopan mencerminkan usaha berterusan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, tanpa menafikan tanggungjawab sebagai pelakon, isteri dan ibu.

    Lisdawati masih menerima tawaran lakonan selagi tidak bercanggah dengan prinsip yang dipegang. – Gambar agensi

    Bahkan, isteri kepada pelakon dan pengarah  Fauzi Nawawi itu masih terbuka menerima tawaran lakonan selagi tidak bercanggah dengan prinsip yang dipegang.

    “Saya tidak hadkan watak, tapi perlu ikut syarat tertentu terutama dari segi pakaian dan tiada sentuhan. Alhamdulillah, setakat ini pihak produksi faham dan boleh bekerjasama.

    “Saya masih bekerja sebab rasa bertanggungjawab untuk sara mak. Rezeki ini bukan milik saya seorang, tapi rezeki keluarga,” katanya yang bakal muncul dalam filem Munajat Kekasih arahan Osman Ali, bergandingan dengan Mira Filzah dan Remy Ishak. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda