Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Litar pintas punca letupan maut – Polis

    PESHAWAR, 25 APRIL – Polis Pakistan hari ini berkata letupan berkembar yang melanda sebuah kemudahan memerangi keganasan di barat laut negara itu yang mengorbankan 16 orang pada hari sebelumnya berpunca daripada litar pintas dan bukannya serangan pengganas.

    Litar pintas berlaku kelmarin di sebuah gudang peluru dalam bangunan di Swat, sebuah daerah di wilayah Khyber Pakhtunkhwa bersempadan dengan Afghanistan.

    Antara yang terbunuh termasuk sembilan pegawai, dua orang awam dan lima militan yang ditahan baru-baru ini untuk siasatan.

    Selain mangsa yang terbunuh, lebih 50 orang, kebanyakannya anggota polis, cedera apabila litar pintas itu mencetuskan letupan, selang beberapa saat, menurut Akhtar Hayat, ketua polis wilayah.

    Pada mulanya, polis berkata ia mungkin berpunca daripada satu tindakan keganasan tetapi siasatan kemudian menyimpulkan bahawa litar pintas menyebabkan letupan, menurut kenyataan polis yang dikeluarkan hari ini. Nasir Mahmood Satti, seorang ketua polis daerah, turut mengesahkan tiada serangan dari luar.

    Polis dan pegawai kerajaan menghadiri upacara pengebumian berjemaah pada hari ini untuk pegawai yang terbunuh dalam letupan itu.

    Imej-imej yang disediakan oleh Associated Press dari tempat kejadian menunjukkan kereta yang musnah dan pokok yang tumbang di kemudahan itu, yang juga menempatkan sebuah balai polis dan ibu pejabat pasukan polis simpanan. – AP

    Seorang polis komando berdiri di atas runtuhan bangunan yang rosak di tapak letupan di Kabal, sebuah bandar di daerah Swat di Pakistan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda