MIAMI – Kumpulan pemuliharaan sejarah mengumumkan kongsi samanya dengan pegawai-pegawai bandar untuk menyelamatkan Little Havana Miami yang bertujuan untuk mengekalkan pusat warisan diaspora Cuba yang terkenal itu yang telah disenaraikan sebagai satu daripada ‘khazanah negara.’
National Trust, syarikat yang bukan berasaskan keuntungan memberitahu bahawa pemuliharaan sejarah bagi wilayah berbahasa Sepanyol itu merupakan satu daripada usaha kongsi sama untuk melindungi Little Havana daripada pembangunan-pembangunan berskala tinggi yang mengubahsuai kebanyakan pusat bandar Miami.
Little Havana yang menjadi tempat kediaman warisan bagi komuniti Cuba dan orang-orang dari sekitar Latin Amerika merupakan tempat terancam disebabkan perobohan bangunan-bangunan bersejarah, pemindahan penduduk dan kerosakan yang telah terjadi berdekad-dekad lamanya. Organisasi yang sama menyenaraikannya dalam senarai tahunan sebagai 11 tempat bersejarah Amerika paling terancam pada tahun 2015.
“Little Havana mempunyai sejarah penghijrahan yang kuat,” kata Presiden dan CEO National Trust, Stephanie Meeks, yang pakar dalam pemuliharaan sejarah. “Ia merupakan tempat yang sangat menarik. Ia berwarna-warni. Ia sangat selesa. Aura kemasyarakatannya sangat tinggi.”
Namun dia memberi amaran: “Kita mahu semua itu berkekalan tapi pada masa yang sama kita tahu komuniti perlu berubah dan menyesuaikan diri untuk memenuhi keperluan penduduk.”
Dia mengatakan bahawa penetapan “khazanah negara” itu akan menolong organisasi persekutuan, pegawai-pegawai bandar, penduduk dan pelabur bersatu padu untuk membincangkan cara bagi mempertingkatkan gaya hidup penduduk kelas-pekerja, memulihara bangunan-bangunan bersejarah dan pembangunan kawasan-kawasan yang terabai.
Pada bulan-bulan akan datang, perancang dan pemaju akan berbincang mengenai pelan bagi kawasan-kawasan kosong, bangunan-bangunan yang terbengkalai dan membuat pertimbangan mengenai tempat bersejarah yang sewajarnya dilindungi. Mulai Mac, mereka akan mengadakan bengkel-bengkel dengan penduduk dan pegawai-pegawai bandar untuk mengongsikan pelan mereka.
“Terdapat banyak bangunan-bangunan buruk di sini dan penduduk menjalani gaya hidup yang rendah,” kata Daniel Martin, seorang pekerja serba boleh yang menetap di Little Havana setelah meninggalkan Cuba 15 tahun lalu. “Memandangkan saya tidak tahu berbahasa Inggeris, ini merupakan tempat yang sesuai buat saya.”
Jalan yang terkenal di kejiranan itu, Calle Ocho merupakan satu daripada tempat yang paling digemari oleh pelancong-pelancong selepas Pantai Miami. Ia memaparkan kedai-kedai cerut, galeri seni dan kedai mom-and-pop, tempat orang-orang Cuba mengenangkan pulau tersebut. Restoran Versailles pula iaitu hub komuniti buangan, merupakan tempat pelawat-pelawat menghirup kopi Cuba yang beraroma, menyaksikan permainan domino oleh orang-orang tempatan dan merakamkan gambar.
“Saya berharap air mata dan impian beribu-ribu orang tidak akan dilupakan,” kata Datuk Bandar Miami, Tomas Regalado yang bercakap pada majlis baru-baru ini untuk mengumumkan kongsi sama tersebut. “Saya berharap sejarah tidak akan berulang lagi dan kesedihan orang-orang Cuba yang dibuang negeri, orang-orang Nicaragua, akan hilang selama-lamanya.”
Bertempat di barat pinggir bandar Miami, Little Havana berkembang pada tahun 1960-an dan kawasan kejiranan tersebut telah mengalami sedikit perubahan pada dekad baru-baru ini disebabkan oleh penghijrahan dari Amerika Tengah dan Colombia yang membuka restoran-restoran dan kedai-kedai baru.
Beberapa pemaju telah mengambil risiko dengan membaikpulih bangunan-bangunan lama seperti Hugh Ryan yang mengubahsuai apa yang dipanggilnya “rumah retak paling teruk di kejiranan ini” menjadi bangunan dua tingkat berwarna hijau pastel dengan lambang salamander diraja di bahagian depannya.
“Apa saja dapat diselamatkan. Seluruh kawasan kejiranan cuba melakukannya sekarang,” kata Ryan sambil menunjuk ke arah apartmen dua tingkat dan dua lagi bangunan di seberang jalan yang telah diubahsuai di timur Little Havana.
Andrew Frey yang membina apartmen lapan unit menyimpan papan tanda besar berwarna biru di luar yang bertulis “Berada di Little Havana adalah satu nikmat.”
“Kami tidak ada menawarkan kolam renang, gim atau spa di sini,” katanya berhubung pembinaannya.
“Little Havana mempunyai sejarah, budaya. Ia melibatkan masyarakat sebenar. Ia mempunyai jalan cerita yang tidak dapat dibuat-buat.”
Little Havana termasuk dalam senarai ‘khazanah negara’ bersama-sama Nashville Music Row, Grand Canyon dan New Jerseys’ Princeton Battlefield. – AP