PARIS, 7 MAC – Litupan ais global mencatatkan tahap terendah dalam sejarah pada Februari lalu apabila dunia mengalami haba luar biasa, dengan suhu berhampiran Kutub Utara meningkat 11 darjah Celsius di atas purata, kata pemantau iklim Eropah kelmarin.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus menyatakan bahawa Februari 2025 merupakan bulan ketiga terpanas dalam rekod, meneruskan trend pemanasan yang bermula sejak 2023 yang didorong oleh pelepasan gas rumah hijau.
Gabungan litupan ais Laut Antartika dan Artik, air laut yang membeku dan terapung di permukaan jatuh ke tahap rekod minimum iaitu 16.04 juta kilometer persegi pada 7 Februari, menurut Copernicus.
“Februari 2025 meneruskan rentetan suhu rekod atau hampir rekod yang diperhatikan sepanjang dua tahun lalu,” kata Samantha Burgess dari Pusat Ramalan Cuaca Jangka Sederhana Eropah yang mengendalikan Copernicus.
“Salah satu kesan dunia yang lebih panas adalah pencairan ais laut dan litupan ais laut yang mencecah rekod atau hampir rekod rendah di kedua-dua kutub telah membawa litupan ais global ke tahap minimum sepanjang masa.”
Kutub Utara dan Selatan mengalami pemanasan beberapa kali lebih pantas daripada purata global.
Litupan ais Artik, yang biasanya mencapai puncaknya pada Mac, berada pada tahap terendah sepanjang sejarah untuk Februari, iaitu lapan peratus di bawah purata, menandakan rekod bulanan ketiga berturut-turut.
Di Antartika, yang mengalami musim panas sekarang dan ais sedang mencair, litupan beku berada 26 peratus di bawah purata sepanjang Februari.
Rantau Antartika mencecah minimum tahunan pada 1 Mac, menyamai 2022 dan 2024 untuk rekod kedua terendah dalam 47 tahun, menurut Pusat Data Salji dan Ais Negara AS. – AFP
