KUALA LUMPUR, 25 FEB – Pemain beregu campuran profesional Malaysia Goh Liu Ying tekad untuk memburu kejuaraan di kejohanan badminton Terbuka Switzerland yang akan berlangsung pada 2 hingga 7 Mac di Basel, Switzerland.
Menurut Liu Ying, kemenangan di kejohanan terbuka itu sangat penting dalam usaha mereka meraih mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo Julai ini.
“Kami bersiap sedia untuk Terbuka Switzerland bulan depan. Kami harap dapat lakukan yang terbaik untuk memenangi kejohanan itu dan meraih mata ke Sukan Olimpik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Liu Ying dan Chan Peng Soon diletakkan sebagai pilihan utama bakal berdepan pasangan Thailand Nipitphon Phuangphuapet-Benyapa Aimsard pada pusingan pertama.
Pada kejohanan Terbuka Thailand Toyota, Peng Soon-Liu Ying tersingkir pada perlawanan suku akhir selepas tunduk kepada pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa 21-18, 22-24, 20-22. – Bernama