MIAMI, 15 DIS – Liga Golf LIV yang dibiayai oleh Arab Saudi akan menganjurkan kejohanan 2023 di Tulsa (Oklahoma), Tucson (Arizona) dan Greenbrier (West Virginia), seperti yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Golf LIV, Greg Norman, kelmarin.
Siri baharu itu, yang telah memecah belahkan dunia golf elit dengan mengumpan bintang terkemuka dari Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) dan Jelajah Dunia DP, melengkapkan musim sulung acara 54-lubang pada Oktober.
Golf LIV AS tahun depan juga akan diadakan di Kelab Golf The Gallery di Tucson pada 17 hingga 19 Mac, Kelab Desa Cedar Ridge di Tulsa pada 12 hingga 14 Mei dan The Greenbrier, bekas venue PGA AS, pada 4 hingga 6 Ogos.
“Penambahan Golf LIV ke pasaran AS meningkatkan lagi keterujaan liga yang bakal dilancarkan pada tahun 2023,” kata Norman. “Ia akan menyumbang kepada musim transformasi untuk para pemain, peminat dan permainan golf.”
Dua minggu lalu, Golf LIV mengumumkan kejohananan 2023 akan diadakan di Mayakoba’s El Camaleon (Mexico) pada bulan Februari, Sentosa (Singapura) pada bulan April dan Real Club Valderrama (Sepanyol) pada bulan Jun.
Golf LIV, yang dibiayai oleh Dana Pelaburan Awam (PIF), negara gergasi Arab Saudi yang kaya dengan hasil minyak, juga telah mengumumkan kejohanan pada bulan April depan di Adelaide, Australia.
Juara bertahan Terbuka British, Cameron Smith dari Australia, pemenang dua kali kejohanan utama, Dustin Johnson, juara enam kali kejohanan utama, Phil Mickelson, pemenang empat kali kejohanan utama, Brooks Koepka adalah antara bintang Golf LIV yang meninggalkan PGA untuk mendapatkan hadiah wang yang ditawarkan oleh siri saingan liga golf itu.
Pemenang kejohanan utama golf lain yang beralih ke Golf LIV termasuk Bryson DeChambeau, Sergio Garcia, Patrick Reed, Henrik Stenson, Louis Oosthuizen, Graeme McDowell, Martin Kaymer dan Charl Schwartzel.
Golf LIV akan mengumumkan jadual penuh dan barisan pemain tahun depan untuk 12 pasukan empat pemain yang akan bersaing dalam 14 kejohanan untuk rekod tertinggi hadiah wang bernilai AS$405 juta. – AFP









