KUALA LIPIS, 15 DIS – Koperal Mohd Azman Mat Yaacob berasa tidak sedap hati selepas melihat lokasi masa sebenar (live location) yang dikongsikan isterinya, Nor Faizah Ridzuan menerusi aplikasi WhatsApp tidak bergerak walaupun beberapa kali memeriksa telefon pintarnya.
Mohd Azman, 36, yang bertugas di Balai Polis Petaling Jaya, Selangor segera menghubungi isteri dan telefon pintar anak sulung mereka Muhammad Hariz Adrian, 10, namun semuanya tidak berjawab selain pesanan WhatsApp juga tidak dibalas.
Gerak hatinya tepat apabila menerima panggilan daripada polis daerah Lipis sekitar 4 pagi tadi, memaklumkan Nor Faizah, 34, Muhammad Hariz Adrian dan anak bongsunya Muhammad Hafiy Azman, tiga tahun, maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler.
“Saya tak sangka kali terakhir pertemuan kami ialah sebelum 12 tengah malam tadi semasa kami sama-sama keluar rumah. Isteri dan anak bergerak pulang ke Kampung Tawang di Bachok (Kelantan) manakala saya menuju ke tempat kerja.
“Ikutkan mereka berada di kampung sehingga hujung bulan ini kerana cuti sekolah dan saya akan menyusul untuk menjemput mereka pulang kerana tidak dapat bercuti lama,” katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis di sini hari ini.
Mohd Azman berkata isterinya yang merupakan suri rumah, seharusnya memulakan perjalanan selepas anak sulung mereka pulang dari sekolah hari ini, namun menukar fikiran untuk bergerak lewat tengah malam tadi.
Menurutnya, ia merupakan kali pertama Nor Faizah memandu bagi perjalanan jauh, namun beliau mengizinkan isterinya pulang bersama anak memandangkan mereka telah lama tidak pulang ke kampung. – Bernama


