LIVERPOOL, 9 MAC- Liverpool terselamat daripada dikalahkan Southampton ketika Mohamed Salah dan Darwin Nunez memimpin kebangkitan meraih kemenangan 3-1 menentang Southampton kelmarin.
Kemenangan tersebut melonjakkan pendahulu Liga Perdana itu dengan kelebihan 16 mata di puncak liga.
Pasukan Arne Slot digemparkan dengan gol pembukaan separuh masa pertama oleh Will Smallbone di Anfield.
Tetapi Liverpool memulihkan ketenangan mereka selepas separuh masa pertama dan Nunez yang dikatakan hambar menyamakan kedudukan sebelum mendapat penalti yang disempurnakan Salah untuk meletakkan Liverpool di hadapan.
Salah kemudiannya menjaringkan satu lagi penalti untuk mencatat sebanyak 32 gol dalam semua pertandingan musim ini ketika The Reds menghampiri gelaran Inggeris ke-20 sejak 2020.
Liverpool seakan-akan tidak dapat dihalang tidak kira bagaimana nasib Arsenal pada minggu-minggu terakhir perlawanan liga.
The Reds yang memburu treble menyasarkan Liga Juara-Juara dan Piala Liga, serta juara Liga Perdana dengan hanya baki sembilan perlawanan untuk menamatkan kejuaraan.
Pada mulanya, ia adalah membimbangkan bagi Slot yang menonton dari tempat duduk penonton kerana digantung atas kesalahan semasa seri menentang Everton.
Dan pada masa kecederaan separuh masa pertama, jurulatih Belanda menggaru kepalanya kerana tidak percaya apabila Smallbone melepaskan rembatannya melalui kaki penjaga gol setelah Virgil van Dijk bergelut dengan Alisson
Slot memasukkan Alexis Mac Allister, Harvey Elliott dan Andrew Robertson selepas separuh masa.
Luis Diaz menjadi pemangkin pada minit ke-51 dengan larian deras dan diikuti dengan hantaran silang yang disudahkan oleh Nunez.
Kebangkitan Liverpool selesai empat minit kemudian apabila Smallbone menjatuhan Nunez dan dihukum penalti yang disudahkan Salah.
Salah menambah satu lagi penalti apabila bola terkena tangan Yukinari Sugawara dan mengukuhkan kemenangan Liverpool menghampiri kejuaraan liga. – AFP
