LONDON, 18 MAC – Liverpool hanya tinggal beberapa minggu daripada menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris, kecuali berlaku kegagalan. Namun, suasana anti-klimaks dan ketidaktentuan masa depan membayangi pasukan Arne Slot selepas minggu yang mengecewakan.
Pada Ahad, The Reds yang tumpul gagal dalam final Piala Liga selepas tewas kepada Newcastle yang lebih bertenaga, hanya lima hari selepas Paris Saint-Germain menamatkan kempen mereka dalam Liga Juara-Juara.
Di Wembley, Liverpool tampak tidak berdaya menghadapi kebangkitan The Magpies, yang akhirnya menjulang trofi domestik pertama mereka dalam tempoh 70 tahun di hadapan penyokong fanatik mereka.
Slot menerima kekalahan itu dengan tenang dan mengakui pasukan Eddie Howe berhak meraih kemenangan.
“Ini adalah sebahagian daripada bola sepak, terutamanya apabila awda berdepan pasukan terbaik di Eropah ketika ini (PSG), dan kemudian menentang Newcastle, yang merupakan pasukan yang sangat kuat di England,” katanya.
Pengendali dari Belanda itu segera mengalihkan tumpuan kembali ke Liga Perdana, dengan menekankan jurang 12 mata yang dimiliki Liverpool dengan hanya berbaki sembilan perlawanan.
Liverpool hanya memerlukan 16 mata lagi untuk memastikan kejuaraan, walaupun Arsenal di tempat kedua menang kesemua perlawanan mereka. Perlawanan antara kedua-dua pasukan di Anfield pada Mei nanti dijangka tidak lagi memberi impak besar.
Tidak mustahil bagi Liverpool untuk menyamai rekod 20 gelaran liga utama England yang dipegang Manchester United, dan kapten Virgil van Dijk menegaskan mereka tidak memerlukan motivasi tambahan.
“Kami ada sembilan perlawanan lagi dan saya rasa tidak perlu motivasi tambahan,” kata pertahanan Belanda itu. “Apa yang diperlukan ialah kami perlu sedar masih ada kerja keras dan tugas yang perlu diselesaikan.
“Jika awda menang lima perlawanan tentunya ia tugas yang sukar awda akan menjadi juara England.” – AFP
