EINDHOVEN, BELANDA, 27 DIS – Liverpool nampaknya telah memenangi perlumbaan untuk menandatangani penyerang antarabangsa Belanda, Cody Gakpo selepas PSV Eindhoven mengumumkan perjanjian dengan pasukan gergasi Inggeris itu, kelmarin.
Gakpo, yang menjaringkan tiga gol semasa Piala Dunia untuk Belanda, sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United yang merupakan pesaing Liverpool.
“PSV dan Liverpool telah mencapai persetujuan mengenai cadangan perpindahan Cody Gakpo,” kata PSV dalam satu kenyataan.
“Penyerang berusia 23 tahun itu akan berlepas ke England dalam masa terdekat untuk menguruskan perkara yang diperlukan sebelum perpindahan dimuktamadkan.”
Pengurus besar PSV, Marcel Brands berkata yuran perpindahan itu akan menjadi rekod kelab untuk kelab Belanda itu.

Menurut laporan, bayaran itu boleh meningkat sehingga 50 juta euro (AS$53 juta).
Ketibaan Gakpo akan menguatkan lagi jentera serangan Liverpool selepas mendapatkan khidmat Luis Diaz dan Darwin Nunez tahun lalu.
The Reds yang kini menduduki tempat keenam di Liga Perdana Inggeris, lima mata di luar kelompok empat tempat teratas yang memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara selepas permulaan musim yang hambar.
Tetapi anak buah Jurgen Klopp memperoleh kemenangan liga ketiga berturut-turut dengan menewaskan Aston Villa 3-1 pada aksi kembali Liga Perdana selepas Piala Dunia kelmarin. – AFP

