LONDON, 1 April – Jurgen Klopp mengakui bahawa Liverpool bernasib baik ketika Sadio Mane terlepas daripada kad kuning kedua sebelum Mohamed Salah menjaringkan gol peribadinya yang ke-37 musim ini untuk membenam Crystal Palace 2-1 semalam.
Luka Milivojevic membawa Palace di depan pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti.
Mane berjaya menyamakan kedudukan empat minit kemudian, namun dia yang dilayangkan kad kuning pertama kerana merebahkan dirinya dengan senghaja, sangat bertuah kerana tidak dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil perlawanan, Kevin Friend apabila dia sengaja memegang bola di luar kawasan penalti Liverpool.
Klopp dengan segera menggantikan pemain Senegal itu dan Liverpool mengambil peluang apabila Salah berjaya menjaringkan gol kemenangan .
Sementara itu, Klopp menegaskan dia percaya kad kuning pertama yang dilayangkan kepada Mane itu tidak adil, namun mengakui terkejut ketika dia tidak dilayangkan kad kuning kedua apabila dia memegang bola sejurus selepas minit ke-60 perlawanan.

“Untuk Sadio ia bukan hari yang sempurna dan dia membuat keputusan salah untuk memegang bola,” kata jurulatih yang berasal dari Jerman itu.
“Saya fikir bahawa itulah kesudahannya, ‘Au Revoir, jumpa anda nanti’ , tetapi keadaan menjadi lebih pelik.
“Pada masa itu kami bernasib baik, tetapi pada pendapat saya kad kuning kedua (untuk Mane) akan menjadi kad kuning pertamanya (yang layak untuknya) dalam perlawanan itu.”
Kemenangan itu memberikan kelebihan bagi Liverpool untuk berada di kedudukan empat teratas sekali gus membawa pasukan itu kembali semula berentap di Liga Juara-juara musim depan.
Bagaimanapun, mereka akan memerlukan prestasi yang lebih baik jika mahu mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-juara musim ini tatkala mereka menjadi tuan rumah pemimpin Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada perlawanan pertama suku akhir mereka pada Rabu ini.
“Tiga mata yang kami perolehi adalah paling penting,” tambah Klopp, yang menyuarakan kekurangan persiapan pasukannya untuk perlawanan pada masa tengah hari anggota skuadnya baru saja kembali ke berlatih pada hari Khamis lalu selepas beraksi untuk negara masing-masing. – AFP