KINGSTON UPON HULL, 5 Feb – Kebangkitan menarik Hull City di bawah pengurus baru, Marco Silva berterusan apabila gol masing-masing daripada Alfred N’Diaye dan Oumar Niasse telah memastikan kemenangan 2-0 ke atas Liverpool, yang masih tercari-cari kemenangan pertama pertama bagi tahun 2017.
Apa sahaja masa depan bagi N’Diaye di Humberside, dia mungkin tidak akan menjumpai banyak peluang menjaringkan gol semudah yang Simon Mignolet berikan kepadanya di minit ke-44 di Stadium KCOM semalam.
Mignolet telah menjatuhkan bola hasil tandukan Harry Maguire hasil sepakan sudut Kamil Grosicki, dan meskipun Mignolet diberi tekanan oleh Abel Hernandez, ia sepatutnya satu penyelamatan biasa.
Sebaliknya, bola itu jatuh di kaki N’Diaye yang telah menambah kebimbangan menggunung Jurgen Klopp ketika dia masih menunggu kemenangan liga yang pertama tahun ini.

Tidak ada yang penjaga gol itu mampu lakukan dengan gol kedua, yang terhasil di minit ke-84, apabila Andrea Ranocchia cuba mengurangkan tekanan serangan Liverpool dengan membuat hantaran jauh ke depan dan pemain gantian, Niasse membuat larian dengan meninggalkan Joel Matip sebelum menjaringkan gol menewaskan Mignolet.
Pasukan di tangga keempat, Liverpool hanya menang sekali dalam 10 perlawanan terakhir mereka dalam semua persaingan, sementara Hull melonjak naik ke tangga 18 dalam perjuangan mereka menggelakkan penyingkiran.
Hull sebenarnya menghadapi beberapa masalah sebelum sepak mula, apabila pemain pertahanan, Michael Dawson cedera ketika sesi pemanasan badan dan Ranocchia mengambil tempat Dawson.
Tetapi Liverpool, yang mempunyai barisan penyerang berbakat, termasuk Sadio Mane buat pertama kali sejak bermulanya bulan ini, bekerja keras menguji penjaga gol tuan rumah, Eldin Jakupovic. – AFP