Liverpool masih kebal

MANCHESTER, 21 OKT – Pemimpin Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool melebarkan rekod tanpa kalah saingan liga apabila bangkit mengikat Manchester United 1-1 pada perlawanan di Stadium Old Trafford malam tadi.

Skuad Reds bimbingan Jurgen Klopp beraksi di Old Trafford dengan rekod 17 kemenangan berturut-turut aksi liga termasuk lapan perlawanan musim ini diasak hebat anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer sebaik wisel permulaan.

Liverpool gagal menyamai rekod 18 kemenangan sederet EPL namun gol penyamaan Adam Lallana memadai buat juara Eropah itu mengelak kekalahan pertama liga musim ini.

Jaringan kontroversi Marcus Rashford membolehkan skuad Solskjaer mendahului 1-0 pada babak pertama, tetapi mereka tidak dapat bertahan apabila membiarkan Lallana yang masuk sebagai pemain gantian tidak dikawal lalu menemui gawang lima minit sebelum masa tamat. Liverpool kini enam mata di depan Manchester City dan kekal di tangga teratas namun hampa untuk terus memastikan United terus tenggelam di tangga ke-13 dengan dua mata lagi ke zon penyingkiran.

United bagaimanapun berjaya menyahut cabaran Solskjaer untuk bangkit. Liverpool tidak menurunkan Mohamed Salah yang masih cedera dan kehilangannya nyata dirasai.

Pelawat yang kembali menggunakan khidmat penjaga gol Brazil, Alisson Becker yang pertama kali disenaraikan selepas sembuh dari kecederaan jarang diuji United yang memilih untuk berkubu di kawasan mereka dan sesekali melancarkan serangan balas.

Solskjaer juga beralih ke formasi 3-5-2 dalam usaha mengekang pergerakan sayap Liverpool, Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson dan ia nyata langkah berkesan apabila United berjaya menghalang mereka mencipta lebih banyak peluang. – AFP

Lallana menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Man United di Old Trafford, kelmarin. – AP