Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liverpool menang bergaya

    SINGAPURA, 31 JULAI – Liverpool bersiap sedia untuk menghadapi kempen baharu Liga Perdana Inggeris dengan persembahan mengagumkan di Singapura semalam apabila mereka mengalahkan saingan dari kelab Inggeris, Leicester City, dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan persahabatan pra-musim.

    Gol-gol yang berjaya dihasilkan oleh Darwin Nunez, Bobby Clark dan Diogo Jota dalam tempoh lapan minit dalam separuh masa pertama memberikan pendahuluan 3-0 kepada pasukan Liverpool.

    Kemudian, Ben Doak mencetak gol keempat Liverpool pada pertengahan masa kedua untuk menyempurnakan kemenangan gemilang di Stadium Nasional itu.

    Dengan hanya baki dua minggu sebelum pasukan itu memulakan kempen Liga Perdana menentang Chelsea, pengurus pasukan, Jurgen Klopp, berpuas hati dengan persiapan pasukan.

    “Kami mempunyai banyak momen baik tetapi kami boleh melakukan yang lebih baik,” kata Jurgen Klopp.

    Aksi Darwin Nunez (tengah) semasa perlawanan Festival Bola Sepak di Singapura, 30 Julai. – AFP

    “Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan hari ini.

    Keputusan yang baik, tiada pemain mengalami kecederaan serius dan suasana semasa dan selepas perlawanan amat membanggakan. Ia merupakan hari yang baik bagi kami,” ujarnya.

    Pasukan Liverpool akan terus menghadapi ujian apabila mereka berentap dengan Bayern Munich dalam perlawanan persahabatan pra-musim yang lain di Singapura Rabu ini. Sementara itu, Leicester, yang tersingkir daripada Liga Perdana musim lalu, akan kembali ke England untuk memulakan kempen Kejuaraan mereka menentang Coventry City Ahad depan.

    Leicester mencipta peluang besar pertama selepas sembilan minit apabila hantaran jauh Kasey McAteer disambut baik Wilfred Ndidi di belakang pertahanan Liverpool, namun usaha pemain tengah Nigeria itu digagalkan oleh penjaga gol Caoimhin Kelleher dari jarak dekat.

    Liverpool gagal mendapatkan gol pembukaan sejurus selepas itu apabila gol Darwin Nunez dibatalkan kerana ofsaid, manakala penjaga gol Leicester, Mads Hermansen dengan baik untuk menepis bola apabila Mohamed Salah cuba mencari Jota dengan hantaran silang rendah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda