LONDON, 30 DIS – Liverpool membelasah West Ham 5-0 kelmarin untuk melebarkan kelebihan mereka dengan lapan mata di puncak Liga Perdana.
Liverpool pimpinan Arne Slot kelihatan tidak dapat dihalang dalam usaha mereka untuk menyamai rekod kejuaraan liga utama Inggeris ke-20, mencatat kemenangan ke-23 dalam 27 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.
Luis Diaz membuka tirai jaringan pada setengah jam permanian sebelum Mohamed Salah membantu Cody Gakpo untuk gol kedua dengan beberapa gerak kaki yang lincah.
Pemain antarabangsa Mesir itu kemudian turut menjaringkan gol ke-20nya sejurus sebelum separuh masa pertama tamat untuk meletakkan pasukan pelawat mengawal permainan sepenuhnya.
Trent Alexander-Arnold menambah jaringan menjadikan kedudukan 4-0 dengan rembatan melencong dari jarak jauh pada minit ke-54 dan Diogo Jota menambah perit West Ham, ihsan satu lagi bantuan Salah berikutan larian meluru menyerang pasukan tuan rumah.
“Satu-satunya perkara di fikiran saya ialah saya mahu Liverpool memenangi liga dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya,” kata Salah kepada Sky Sports.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan memenangi trofi. Terdapat beberapa pasukan lain mengejar kami dan kami perlu kekal fokus dan merendah diri,” tambahnya lagi. – AFP