LONDON, 18 FEB – Kapten Liverpool, Virgil van Dijk menegaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu boleh menghadapi tekanan yang semakin meningkat dalam saingan kejuaraan.
Skuad kendalian Arne Slot itu mendahului tujuh mata daripada Arsenal yang berada di tangga kedua selepas terselamat daripada persembahan hambar pada separuh masa kedua untuk menewaskan Wolves 2-1 Ahad lalu.
Selepas keputusan seri pada masa kecederaan di Merseyside menentang Everton Rabu lalu, terdapat suasana yang membimbangkan di sekitar Anfield ketika Liverpool menentang Wolves.
Van Dijk memahami mengapa terdapat kegelisahan di tempat penonton dan bek tengah Belanda itu menjangkakan lebih banyak drama akan berlaku ketika Liverpool semakin hampir bergelar juara.
“Kita semua manusia dan saya faham sepenuhnya kebimbangan atau kegelisahan boleh berlaku,” katanya.
“Saya sudah katakan minggu lalu, kita hanya perlu bertenang dan menikmati perjalanan. Akan ada banyak liku-liku.
“Jika awda tidak bersedia , ia akan menjadi beberapa bulan yang sukar tetapi saya rasa kami sebagai satu pasukan sudah bersedia menghadapinya.
“Kami akan memberikan segala yang kami ada dan kami akan lihat dalam 13 perlawanan jika itu sudah mencukupi.”
Liverpool boleh melanjutkan pendahuluan mereka di tangga teratas kepada 10 mata jika menang di Aston Villa Rabu nanti.
Van Dijk telah berpengalaman mendahului 10 mata pada peringkat awal musim ini tetapi gagal pada akhirnya.
Pada Januari 2019, Liverpool pernah mendahului Manchester City apabila mereka tewas di Stadium Etihad ketika pasukan Pep Guardiola memenangi 18 daripada 19 perlawanan terakhir mereka, dengan The Reds akhirnya menduduki tempat kedua dengan satu mata.
Arsenal pula hanya mempunyai 13 perlawanan untuk mengejar Liverpool dan Van Dijk percaya Liverpool akan mampu menangani kebimbangan minggu-minggu terakhir musim ini.
“Saya tidak tahu bagaimana orang lain berfikir, saya hanya boleh mengatakan apa yang saya fikirkan dan apa yang saya suruh pemain lain lakukan kerana saya telah pernah melalui keadaan sebegini dan gagal dua kali,” katanya.
“Kami perlu meletakkan semua tenaga kami dalam diri kami sendiri dan itu sudah cukup sukar – awda melihat bagaimana Wolves menyukarkan kami dan pada hari Rabu nanti ia akan menjadi sangat sukar sekali lagi.
“Jika awda memberi tumpuan kepada perkara lain atau melihat pasukan lain, ia akan merugikan jadi kami teruskan. Pemain lain mungkin memerhatikan pasukan lain tetapi ia tidak akan membantu awda.
“Saya fikir itu juga mentaliti musim kami semasa memenanginya (pada 2020), kami hanya terus mara dan mara. Akhirnya kami menemui jalan.” – AFP
