LONDON, 28 JUN – Liverpool telah melengkapkan perpindahan pemain pertama musim panas ini dengan menyambar pemain pertahanan Belanda berusia 17 tahun, Sepp van den Berg (gambar bawah) dari PEC Zwolle.
Juara Eropah itu mengalahkan Bayern Munich untuk mendapatkan khidmat Van den Berg dengan hanya 1.3 juta pound (AS$1.7 juta).
Dia dijangka menghabiskan musim depan bersama pasukan akademi kelab.
“Liverpool adalah kelab terbesar di dunia dan ia adalah impian yang menjadi kenyataan. Saya sangat teruja,” kata Van den Berg.
“Saya telah melihat jenis pemain dari akademi yang berkembang menjadi pasukan pertama di sini. Sukar dipercayai terutama apabila kelab besar seperti ini melakukannya.
“Sudah tentu, Jurgen Klopp adalah orang yang hebat dan salah satu sebab mereka berjaya dan juga salah satu sebab saya datang ke sini.
“Saya fikir ini adalah tempat terbaik bagi saya untuk berkembang dan diharap dapat beraksi dalam banyak permainan di sini.”
Liverpool dijangka mengharungi musim panas yang tenang pada pasaran pemindahan selepas membelanjakan lebih 170 juta pound untuk mendapatkan Alisson Becker, Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri tahun lepas. – AFP